KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar menyemak semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh ketika ini yang gagal memberi hasil sebagai mana diharapkan apabila negara masih mencatat peningkatan kes Covid-19.
Malah, pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai esok akan menambahkan lagi tekanan kepada rakyat yang sememangnya telah rimas dengan PKP berpanjangan.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, PKP berlarutan bukan saja memberi kesan kepada norma hidup masyarakat, sebaliknya menjejaskan ekonomi rakyat khusus peniaga kecil dan yang bergaji hari.
Katanya, sampai bila rakyat harus dalam keadaan begini, sedangkan mereka semakin hari bertambah derita.
“Pelaksanaan PKP separuh masak dan kegagalan kerajaan mengawal operasi kilang antara punca utama kepada peningkatan kes Covid-19 di negara ini khususnya di Lembah Klang.
“Oleh itu, satu post mortem perlu dilakukan kerajaan bagi mengenal pasti perkara ini khususnya membabitkan operasi kilang dan tapak pembinaan.
“Operasi kilang dan tapak pembinaan ketika PKP perlu diberi perhatian serius dan diteliti pengoperasiannya kerana ada di kalangan mereka masih beroperasi meskipun puluhan kakitangan disahkan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kuala Kangsar berkata, ada sebahagian kilang dan tapak binaan tidak melaporkan mengenai kes positif Covid-19 yang dikesan ditempat mereka.
“Ini yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan termasuk mempercepat usaha vaksinasi pekerja kilang dan tapak pembinaan,” kata Mustafa Shah. – MalaysiaGazette