Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JULAI 2018
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

KUALA LUMPUR – Isu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dicanang akan menjadi Perdana Menteri selepas mengetuai jajaran baharu hanyalah satu bentuk perang psikologi.

Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, adalah mustahil untuk Ahmad Zahid  memegang jawatan tertinggi dalam pemerintahan negara kerana tidak cukup majoriti dalam Parlimen berbanding blok terbesar Pakatan Harapan (PH).

Tambahnya, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap menjadi Perdana Menteri dalam pembentukan jajaran baharu PH bersama UMNO kelak.

“Sekali pun Anwar mahu memberikan jawatan itu kepada UMNO, ia belum tentu dipersetujui rakan parti dalam gabungan PH terutama DAP dan PKR.

“Sekarang ini kita lihat siapa yang dapat majoriti, kalau Ahmad Zahid bersama PH, UMNO ada 38 kerusi sedangkan PH ada hampir 90 dan Anwar pula Pengerusi PH.

“Jadi tidak mungkin Ahmad Zahid akan jadi Perdana Menteri kerana mengikut undang-undang,Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan melantik seseorang yang ada majoriti dalam Parlimen untuk jawatan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Johari berkata, faktor utama untuk Ahmad Zahid menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah berlandaskan perkiraan parti itu yang djangka mengecil dan hilang kedudukan dalam arena politik negara sekiranya terus berada dalam PN.

“Dalam PN terdapat tiga parti Melayu dan masing-masing akan berebut kawasan majoriti Melayu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Sekiranya ketiga-tiga parti itu duduk berbincang untuk berbahagi kawasan Melayu yang hanya ada lebih kurang 90 kerusi, bermakna setiap parti memperoleh 30 kerusi.

“Itu pun kalau Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi kepada UMNO 30 kerusi, jika UMNO hanya dapat sekitar 12 atau 13 kerusi, sudah tentu UMNO dengan sendirinya akan mati,” jelasnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Ahmad Zahid memberi keyakinan kepada Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO bahawa pemimpin parti itu akan kembali menjadi Perdana Menteri dalam jajaran baharu yang bakal dibentuk. – MalaysiaGazette