Dr Norzaidi Zakaria

KUALA LUMPUR – Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menutup sepenuhnya aktiviti ekonomi kecuali sektor penting selama dua minggu dan membukanya semula selama dua bulan sebelum melaksanakan kembali sekatan penuh jika berlaku peningkatan kes Covid-19.

Selain itu, program vaksinasi Covid-19 juga perlu dipercepatkan supaya negara dapat mencapai imuniti kelompok dengan segera.

Menurut Biro Media Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Norzaidi Zakaria, langkah itu dijangka dapat melandaikan lekuk kes Covid-19 dan dalam masa yang sama tidak “mematikan” terus sektor ekonomi di negara ini.

“Saya mempunyai booth di Mentari Court, Petaling Jaya, apa yang saya lihat, kawasan pangsapuri itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tetapi kilang semikonduktor di sebelahnya masih beroperasi, sedangkan kilang berkenaan bukan sektor perlu, lainlah jika kilang roti atau beras.

“Jadi, selagi kita tidak melaksanakan sekatan penuh seperti tahun lepas, selagi itu kita tidak boleh keluar daripada masalah ini.

“Sekatan penuh itu penting. Mungkin kerajaan boleh melaksanakan sekatan penuh selama dua minggu yang mana semua aktiviti ekonomi kecuali sektor penting ditutup.

“Selepas tempoh berkenaan, aktiviti-aktiviti ekonomi dibuka semula sekurang-kurangnya dalam tempoh dua bulan dan sekiranya berlaku peningkatan ketara kes Covid-19, kerajaan perlu melaksanakan sekatan penuh semula.

“Dalam masa sama, kadar vaksinasi perlu dipertingkat.

“Dengan cara ini kita boleh mengikut jejak negara-negara lain yang berjaya mengawal kes Covid-19 dan mungkin kes positif baharu cuma berlegar sekitar 1,000 sehari sahaja, tidak seperti sekarang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ketika ditanya mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di beberapa kawasan serta daerah di Kuala Lumpur dan Selangor, Dr. Norzaidi berharap ianya dapat menurunkan kes jangkitan.

Bagaimanapun, kejayaan PKPD bergantung sepenuhnya kepada faktor sama ada sektor dan perkhidmatan ekonomi yang kurang penting dibenarkan beroperasi atau tidak, seperti yang berlaku sebelum ini.

“Saya paling risau kita tumbang.

“Hospital penuh sesak, tempat kuarantin kotor kerana pekerja-pekerja pembersihan tidak sempat untuk melakukan kerja-kerja mereka, manakala petugas kesihatan juga semakin penat.

“Jika dilihat daripada saman-saman yang dikeluarkan oleh polis juga masih banyak.

“Melihatkan situasi ini, saya cukup bimbang,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette