Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. Anbalagan . Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

SERDANG – Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tergantung pada dahan sebatang pokok di Jalan DU 1 Damai Utama, Puchong di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat lelaki warga tempatan itu sekitar jam 6.57 pagi daripada orang awam sebelum bergegas ke lokasi.

“Anggota bertugas yang tiba ke lokasi kira-kira 10 minit kemudian telah melakukan pemeriksaan dan menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan tergantung dengan tali pada bahagian dahan sebatang pokok.

“Siasatan lanjut mangsa merupakan seorang lelaki berusia 27 tahun dan pemeriksaan fizikal pada mayat berkenaan polis tidak menemui sebarang kesan kecederaan akibat perbuatan jenayah,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, semakan lanjut yang dilakukan polis di lokasi kejadian mendapati mangsa tiada sebarang rekod perubatan lampau namun si mati dikatakan mempunyai masalah keluarga.

“Siasatan berhubung kejadian masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) manakala keputusan punca kematian akan dimaklumkan selepas bedah siasat selesai,” ujar beliau.-MalaysiaGazette