Penerima, Zalisah Zakaria, 37 (kanan) bersama Norehan Jaaffar, 47, mengangkat barangan makanan pada Program Sumbangan Bakul Makanan Parlimen Bandar Tun Razak di Dewan Merdeka, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Membesarkan tiga orang anak tanpa pekerjaan tetap selepas kehilangan suami empat bulan lalu bukanlah perkara yang mudah.

Mengenangkan kehidupannya empat beranak yang hilang tempat bergantung,  Zalisah Zakaria, 37 tidak dapat menahan air matanya saat menerima bantuan bakul makanan.

Bantuan itu baginya sangat membantu apatah lagi dengan pendapatannya membantu jiran berniaga hanya kira-kira RM50 sehari.

Penerima, Zalisah Zakaria, 37, bercakap pada Program Sumbangan Bakul Makanan Parlimen Bandar Tun Razak di Dewan Merdeka, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 JULAI 2021.

“Sebelum ini suami yang tanggung semua. Saya di sini pun tidak ada saudara mara.

“Buat masa ini tidaklah sampai tidak dapat makanan sebab ada bantu juga.

“Cuma seronoklah dapat bantuan begini,” kata balu anggota polis trafik itu.

Zalisah berkata, beliau dan tiga anaknya berusia di antara 14 hingga sembilan tahun kini tinggal di kuarters polis di Pekan Sungai Besi.

Penerima, Norehan Jaaffar, 47, bercakap pada Program Sumbangan Bakul Makanan Parlimen Bandar Tun Razak di Dewan Merdeka, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 JULAI 2021.

Seorang lagi ibu tunggal, Norehan Jaaffar, 47 berkata, bakul makanan yang disalurkan menerusi ahli Parlimen setiap kawasan jelas membantu insan sepertinya untuk memastikan beliau sekeluarga tidak terputus bekalan makanan, apatah lagi dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya tidak bekerja memang mengharapkan pencen daripada arwah suami yang meninggal setahun lalu.

“Dalam sebulan ini bekalan ada juga terputus, terasa jugalah,” kata ibu tunggal anak empat tersebut.

Katanya, beliau kini hanya bergantung kepada wang pencen arwah suami yang sebelum ini bertugas sebagai polis.

Kata Norehan, beliau pernah rasa putus asa memikirkan bekalan makanan di rumah tidak lagi cukup untuk memberi anak-anaknya makan.

“Sampai rasa putus asa sebab duduk rumah sahaja kan, tidak boleh keluar juga dengan bekalan terputus sekejap. Nasib baik dapat bakul makanan ini.

“Lega ada barang di rumah, tidaklah kosong dapur. Rasa nak kibar bendera putih tapi terfikir orang nampak ke, terfikir ada lagi orang lagi susah,” ujarnya.

Nurehan merupakan antara 50 golongan B40 dan memerlukan yang menjadi penerima Program Bakul Makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Sumbangan bakul makanan disampaikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Kamarudin Jaffar.

Penerima, Chong Ping Kiong, 58, bercakap pada Program Sumbangan Bakul Makanan Parlimen Bandar Tun Razak di Dewan Merdeka, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 JULAI 2021.

Sementara itu,  warga emas  seperti Chong Ping Kiong, 58 berharap agar bantuan bakul makanan disalurkan setiap bulan untuk golongan memerlukan sepertinya.

Memandangkan, beliau yang tinggal dengan kakaknya berumur 69 tahun, langsung tidak mempunyai sumber pendapatan.

“Kami berdua tidak bekerja. Saya dari tahun 2000 sampai sekarang tidak kerja, saya tidak ada dapat bantuan.

“Kami hanya gunakan duit simpanan sebelum ini berniaga, setiap bulan kami berdua memerlukan RM500 untuk bekalan makanan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast