KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa kerajaan membentuk satu jawatankuasa bipartisan Parlimen bagi memantau Digital Nasional Berhad (DNB) yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek pembentukan infrastruktur 5G di Malaysia.
Ahli Jawatankuasanya, Faiz Fadzil berkata, jika tidak ada pemantauan dari jawatankuasa bipartisan itu, dikhuatiri projek penting seperti 5G itu mengundang masalah dan sejarah hitam 1MDB berulang.
Beliau berkata, projek itu dianggarkan bernilai kira-kira RM15 bilion termasuk perbelanjaan modal dan kos operasi.
“Dalam kita menghadapi kebobrokan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari demi hari, kita tidak boleh terlepas pandang satu isu yang sangat besar yang akan memberi kesan kepada rakyat dan ekonomi negara.
“Dalam tempoh 10 tahun akan datang, DNB iaitu syarikat milik penuh kerajaan Malaysia telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek ini yang dianggarkan bernilai RM15 bilion.
“Ini adalah kali pertama kerajaan Malaysia menerusi DNB terlibat secara total dalam projek pembangunan infrastruktur tanpa wayar (wireless), yang sebelum ini dijalankan oleh pihak swasta,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Kata Faiz, baru-baru ini, Ericsson Malaysia Sdn. Bhd. telah dipilih oleh kerajaan PN untuk membina infrastruktur 5G di seluruh negara dengan kos pembinaan RM11 bilion.
Menurut beliau, walaupun kerajaan mengatakan pemilihan itu berdasarkan tender, tidak kelihatan sebarang ketelusan mengenainya atau cara keputusan dibuat di peringkat tertinggi DNB.
“Ini sangat membimbangkan dan kita tidak mahu projek mustahak seperti 5G ini menjadi bermasalah dan mengulang sejarah hitam 1MDB. Justeru, satu jawatankuasa bipartisan Parlimen perlu dibentuk untuk memantau DNB secara berterusan.
“Jawatankuasa ini mesti terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang berupaya memastikan tidak ada isu dalam pelaksanaan tender dan perlu ada ketelusan mengapa Ericsson dipilih, bukan syarikat lain.
“Bukan itu sahaja, selepas ini, projek akan mula diberikan untuk membina infrastruktur 5G seperti tiang telekomunikasi dan kabel fiber. Kita tidak mahu projek ini diberikan kepada kroni ataupun individu tertentu, tanpa ada merit yang kukuh,” ujar beliau.
Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, memandangkan saiz projek itu besar, timbul kerisauan yang kerajaan PN akan menggunakannya untuk “fundraise” bagi PRU-15.
Katanya, berdasarkan laporan The Star pada 3 Mac lalu, DNB akan “front-load” atau membelanjakan sebahagian besar daripada RM15 bilion itu pada tahun-tahun awal pelaksanaan yang bermula tahun ini.
“Kita tidak mahu projek “subcon” diberikan pada kos lebih tinggi dan lebihan kos ini disalurkan kepada parti pemerintah untuk tujuan dana pilihan raya. Akhirnya, yang akan merana adalah rakyat, kerana terpaksa membayar harga lebih tinggi daripada sepatutnya.
“Projek DNB ini sangat memerlukan perhatian kerana barangkali, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia, di mana kerajaan mengambil alih pembinaan infrastruktur 5G,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini bercadang untuk melaksanakan projek 5G melalui satu konsortium yang dibentuk oleh pemain swasta, tetapi dipantau oleh kerajaan.
Kaedah itu bukan sahaja telus dan terbuka, malah berupaya mengurangkan birokrasi, berbanding model DNB yang digunapakai kerajaan PN ini telah dikritik oleh ramai pihak, termasuk Fitch Solutions.
Katanya, agensi itu memaklumkan, model DNB akan menyebabkan kos 5G menjadi lebih mahal kerana tiada unsur persaingan dan adalah “centrally-coordinated”.
Secara umumnya, kata Faiz, model yang diguna pakai kerajaan PN tidak digunakan di negara lain kerana kerajaan lain sedar kelemahannya.
“Sebab itu DNB perlu dipantau oleh satu jawatankuasa bipartisan Parlimen. Perkembangan projek mega 5G ini harus dilaporkan di Parlimen secara terbuka supaya rakyat dapat menilai sendiri keberkesannya dan ketelusannya terutama dalam pemberian tender dan projek di bawah DNB,” ujar beliau. – MalaysiaGazette