KUALA LUMPUR – Pendapatan e-dagang oleh pertubuhan di Malaysia merekodkan RM254.6 bilion melonjak 30 peratus tahun-ke-tahun pada suku tahun pertama 2021.

Pertumbuhan ini dipacu oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Sepanjang pada tahun 2020, pendapatan e-dagang merekodkan RM896.4 bilion meningkat 32.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Perbandingan suku tahun-ke-suku tahun pula, RM195.9 bilion direkodkan pada suku tahun pertama 2020, diikuti RM216.9 bilion pada suku tahun kedua, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Pendapatan e-dagang terus menunjukkan trend peningkatan pada suku tahun ketiga dengan merekodkan RM238.2 bilion dan RM245.4 bilion pada suku tahun keempat tahun yang sama.

Menurutnya, prestasi lebih baik ini didorong oleh norma baharu Covid-19 yang telah merangsang kepada adaptasi digital dalam kalangan pertubuhan.

Mengulas prestasi itu, katanya, pendapatan e-dagang meningkat 22.8 peratus pada tahun 2019 berbanding 2017, mencatatkan RM675.4 bilion. Pendapatan e-dagang 2019 bagi pasaran tempatan yang dijana daripada jualan di Malaysia meningkat 21.7 peratus kepada RM591.8 bilion.

Sementara itu, jualan e-dagang diperingkat antarabangsa meningkat 31.9 peratus kepada RM83.5 bilion.

Pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui Business to Business (B2B) meningkat 13.0 peratus kepada RM449.6 bilion dan diikuti
Business to Consumer (B2C) meningkat 53.3 peratus kepada RM194.0 bilion.

Pada masa yang sama, Business to Government (B2G) turut meningkat 55.7 peratus kepada RM31.8 bilion.

Perbelanjaan e-dagang turut merekodkan pertumbuhan 14.8 peratus kepada RM301.5 bilion dengan perbelanjaan e-dagang bagi pasaran tempatan bertumbuh 15.3 peratus kepada RM269.6 bilion.

Manakala perbelanjaan pasaran antarabangsa meningkat 10.8 peratus kepada RM31.9 bilion.

Perbelanjaan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui Business to Business (B2B) meningkat 14.1 peratus kepada RM277.6 bilion dan diikuti Business to Consumer (B2C) 24.6 peratus kepada RM14.8 bilion.

Seterusnya, penggunaan Internet merekodkan peningkatan 11.9 mata peratus kepada 85.2 peratus, diikuti oleh komputer, 7.3 mata peratus kepada 86.2 peratus dan web presence, 16.1 mata peratus kepada 53.9 peratus.

Sektor Maklumat & Komunikasi dan Kewangan & Takaful/ Insurans telah menggunakan sepenuhnya Internet dan komputer dalam perniagaan.

Mengupas kenyataan tersebut, Mohd Uzir menjelaskan, pertumbuhan pesat dalam penggunaan teknologi maklumat dan telekomunikasi serta dan e-dagang di Malaysia menunjukkan syarikat perniagaan telah beralih kepada laluan digital seiring dengan perkembangan teknologi global. – MalaysiaGazette