Langkah kerajaan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Malaysia (PICK) sememangnya tindakan yang betul dalam usaha mencegah penularan Covid-19 di negara ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Malaysia (PICK) sememangnya tindakan yang betul dalam usaha mencegah penularan Covid-19 di negara ini.

Ia diagresifkan lagi apabila lebih 300,000 dos vaksin dapat diberikan kepada rakyat sekaligus menuju sasaran bagi mencapai tahap imuniti kelompok.

Ketua Badan Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan (BPNWP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berkata, rakyat sudah sedar terhadap kepentingan vaksinasi meskipun sebelum ini terdapat banyak halangan dan hasutan terutama dari dalam kalangan antivaksin.

Katanya, rakyat sudah faham betapa pentingnya mereka perlu divaksin dan ini memudahkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Malaysia (PICK) mencapai matlamatnya.

“Hari ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluahkan rasa optimis PICK ini akan berjaya dan berada di landasan yang tepat.

“Beliau turut yakin bahawa usaha yang diselaraskan oleh Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba akan mencapai sasaran sebagaimana yang dikehandaki,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhammad Suhaimi yakin apa yang dilakukan oleh kerajaan termasuk menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) berada di landsan betul dan dibuat berdasarkan kajian yang mendalam.

Ujarnya, meskipun berada dalam situasi yang agak sukar, namun semua itu dapat diatasi dengan mengambil kira faktor-faktor tertentu dan juga keperluan.

Ketua Badan Pimpinan Negeri PPBM Wilayah Persekutuan, Muhammad Suhaimi Yahya

“Dalam fokus ketiga Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), perdana menteri ada berkata, kerajaan akan mempercepatkan proses vaksinasi kepada seramai yang mungkin penduduk negara ini.

“Perkara itu kini terbukti apabila lebih 300,000 dos dapat diberikan semalam.

“Ini bagi memastikan negara kita berjaya mencapai imuniti kelompok dan seterusnya membawa kita kembali menjalani kehidupan menghampiri kehidupan sebelum pandemik Covid-19,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast