Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – PublicInvest Research mengekalkan saranan “overweight” ke atas sektor minyak dan gas dengan jangkaan harga minyak boleh melonjak ke paras US$80 setong, didorong oleh permintaan dan penawaran minyak global yang semakin meningkat.

Dalam tempoh 12 bulan yang lepas,  harga minyak naik melepasi 70 peratus – dari sekitar US$40 setong pada pertengahan Jun 2020 kepada lebih daripada US$70 setong – dirangsang oleh optimisme terhadap pelonggaran sekatan COVID-19 untuk beberapa ekonomi terbesar di dunia, katanya.

Firma penyelidikan itu turut berpendapat tindak balas sepi oleh pengeluar ‘shale’ juga menyebabkan kenaikan harga selain pengurangan pengeluaran secara agresif oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC +), yang menyaksikan penurunan inventori minyak global yang lebih cepat.

Berdasarkan kepada kedinamikan sektor semasa, ia menjangkakan harga purata minyak sekitar AS$70- $75 setong untuk tahun ini.

“Melihat kepada harga ini, kami percaya ia cukup menarik bagi para penggiat minyak utama meningkatkan perbelanjaan sejajar dengan pemulihan ekonomi global yang progresif dan pengurangan kes COVID-19,” katanya.

“Ini sememangnya positif bagi penyedia perkhidmatan minyak dan gas walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mungkin menimbulkan beberapa cabaran jangka pendek dari segi pelaksanaan projek,” katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.

Firma penyelidikan itu turut berpendapat permintaan untuk minyak semakin baik dengan pemulihan dijangkakan pada 2022, terutama apabila kebanyakan penerbangan jarak jauh yang menggunakan lebih banyak bahan bakar beroperasi semula. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast