Md Fauzi Md Tamaji. foto MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mewujudkan kategori simpanan bagi pengeluaran i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) supaya pencarum dapat mengeluarkan caruman berdasarkan jumlah wang terkumpul yang ada.

Cadangan itu realistik memandangkan keperluan setiap pencarum berbeza di antara satu sama lain terutama dalam keadaan getir ini.

Seorang bekas juruterbang, Md Fauzi Md Tamaji berkata, pengeluaran ketiga sebanyak RM5,000 yang dibenarkan oleh kerajaan melalui KWSP adalah langkah baik namun jumlah yang dibenarkan tidak bertepatan terutama bagi golongan T20 yang mempunyai komitmen besar.

Katanya, pengeluaran sebanyak RM5,000 yang ditetapkan oleh kerajaan adalah terlalu ‘kecil’ nilainya bagi kelompok isi rumah ini.

Jelas beliau, jumlah pengeluaran RM5,000 itu  mungkin sesuai untuk golongan yang mempunyai komitmen terhad.

Tetapi ia tidak sesuai bagi kumpulan pencarum yang dahulunya berpendapatan besar yang menanggung keperluan yang tidak kurang besarnya.

Fauzi menambah, dalam sektor penerbangan contohnya, ramai juruterbang yang dibuang kerja dan selain ada diberi gaji asas sahaja menyebabkan komitmen hutang dan tanggungan lain sebelum ini tidak dapat dilunaskan.

Mereka yang dibuang kerja, katanya, memang layak menerima moratorium dan bantuan-bantuan yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Namun, kumpulan juruterbang yang diberi cuti dengan gaji asas tidak dapat keistimewaan seperti mereka yang dibuang kerja.

Akibatnya, kebanyakan juruterbang terpaksa menanggung hutang besar sejak pandemik tahun lalu.

“Sama ada kerajaan sedar atau tidak, golongan kami ini adalah kelompok yang terperangkap di tengah-tengah, hendak buat itu tak lepas, nak buat ini tak boleh.

“Jadi apa salahnya, kerajaan memperkenalkan kategori pengeluaran supaya pencarum yang mempunyai jumlah tertentu dibenarkan mengeluarkan caruman masing-masing berdasarkan peratusan tertentu.

“Contohnya, jika pencarum memiliki RM500,000 hingga RM1 juta, golongan ini sepatutnya mengeluarkan 5% atau 10%, dengan ini individu berkenaan boleh menggunakan wang tersebut untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak yang jumlahnya lebih besar kerana keperluan gaya hidup yang berbeza sebelum berlaku pandemik,” katanya yang mewakili kumpulan juruterbang yang terhimpit kehidupan masing-masing selepas sektor penerbangan lumpuh.

Tambah Md Fauzi, beliau dan golongan juruterbang yang terjejas akibat pandemik ini tidak bimbang dengan pengeluaran wang caruman yang lebih besar kerana yakin kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan dividen KWSP yang baik selepas pasca pandemik.

Jelas beliau, andainya KWSP memberi dividen 4% pun, ia adalah satu agihan yang sangat baik untuk menambah caruman pencarum pada tahun-tahun akan datang.

“Dengan agihan dividen 4% pun, sekurang-kurangnya dapat menambah pengeluaran yang dibuat, sudah bersyukur sangat berbanding tiada langsung,” katanya sambil mengatakan kehidupan sebahagian besar juruterbang semakin terhimpit.

Lebih-lebih lagi mereka yang terperangkap dalam usia antara 51 tahun 54 tahun – kelompok ini tetap perlu menunggu usia 55 tahun untuk mengeluarkan caruman masing-masing.

“Sehubungan itu, kami sangat berharap suara hati kami ini dipertimbangkan oleh kerajaan dengan fikiran terbuka, mengambil kira simpanan semasa kami yang ada.

“Lagipun, KWSP ada menyimpan semua rekod, lantaran itu mereka boleh membuat pertimbangan sewajarnya,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast