Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Biarpun veteran DAP, Lim Kit Siang sudah memohon maaf secara terbuka ekoran kenyataannya mempersoal ‘Kerajaan Allah’ kelmarin namun kenyataan itu telah menyebabkan ‘kerosakan’ kepada masyarakat.

Lagipun, menurut Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, permohonan maaf itu dibuat setelah Kit Siang mendapat asakan daripada pelbagai pihak sebelum ini.

“Bila diasak, beliau minta maaf. Baguslah. Tapi kerosakan telah terjadi. Bukan terhadap orang yang nak diserang, sebaliknya pada diri sendiri.

“Buatlah apa sahaja. Pakai songkok, baju kurung, berbuka puasa, derma masjid, semua itu masih dianggap wayang. Bukan hanya dia tetapi juga rakan-rakannya,” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang kelmarin berkata beliau salah faham mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Covid-19 adalah ujian kepada manusia dan hanya ‘kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna’ boleh menghapuskan virus itu.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata,  beliau membuat kenyataan sebegitu ketika membaca satu laporan media, beliau berpandangan ‘Kerajaan Allah’ yang disebut oleh Abdul Hadi merujuk kepada kerajaan Islam termasuklah kerajaan Perikatan Nasional yang sering mendakwa mereka adalah “Kerajaan Melayu-Islam”.

Selain mohon maaf, beliau juga bertindak menarik balik kenyataan itu di media sosialnya.

Kit Siang baru-baru ini memuat naik satu kenyataan bahasa Inggeris dalam laman Facebooknya yang dilihat menyentuh sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

Beliau menulis, ‘If Allah government is the best form of government in Covid-19 pandemic, why Malaysia is the last in the economist’s global normalcy index losing out to countries none of which can claim to be ‘Allah’s government’,”. – MalaysiaGazette