Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) tidak bersetuju kalau persidangan Parlimen selama lima hari bermula 26 Julai ini sekadar mendengar penerangan berkaitan Pelan Pemulihan Negara (PPN) tanpa sebarang perbahasan.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tempoh persidangan itu juga terlalu pendek untuk Ahli Parlimen membahaskan perkara yang dititiberatkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) iaitu Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat serta PPN.

“MPPH mengambil maklum kenyataan Pejabat Perdana Menteri bahawa Parlimen akan bersidang bermula 26 Julai selama lima hari bagi Dewan Rakyat dan bermula 3 Ogos selama tiga hari bagi Dewan Negara.

“Setelah diberi peringatan tiga kali oleh Yang di-Pertuan Agong serta tekanan parti-parti politik, malah juga rakyat Malaysia, akhirnya Perdana Menteri akur dan menjunjung titah baginda untuk memanggil sidang Parlimen.

“Bagaimanapun, kita berpandangan sidang khas ini terlalu pendek untuk benar-benar membahaskan perkara yang telah dititikberatkan baginda iaitu Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kenyataan itu turut ditandatangani Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut Anwar, MPPH kesal kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya berniat untuk memberi penerangan berkaitan PPN Covid-19 tanpa sebarang perbahasan dan proklamasi serta Ordinan-Ordinan Darurat hanya akan dibentang dan tidak dibahas mahupun diputuskan.

Ini tegas beliau, tidak menepati titah pandangan YDPA.

“Sekiranya kerajaan PN masih ingkar titah pandangan Seri Paduka Baginda, maka persidangan Parlimen kali ini hanyalah satu sandiwara politik dan bagai melepaskan batok di tangga.

“Parlimen adalah medan mendengar masalah, menyuarakan rintihan dan memulihkan harapan rakyat, di samping mencari penyelesaian kepada krisis negara.

“Prinsip akauntabiliti dan ketulusan perlu ditegakkan dengan peranan semak dan imbang melibatkan semua Ahli Parlimen dan Parlimen, bukannya pentas untuk hanya mendengar kuliah Menteri tanpa diberi ruang membahas,” katanya.

Oleh itu, jelas beliau, kerajaan perlu menjemput pembangkang untuk bersama merangka dan mengatur perjalanan sidang khas Parlimen, yang mesti mengusahakan penyelesaian agar rakyat dapat keluar dari krisis Covid-19 dan ekonomi.

“Janganlah sehingga pembangkang terpaksa mendesak sidang Parlimen khas yang adil.

“Kita mesti bersama memerangi Covid-19 untuk menyelamatkan negara, bukannya berpolitik untuk melindungi jawatan dan kedudukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast