Ketika negara digambarkan kritikal kerana lonjakan kes positif Covid-19 di Lembah Klang - prestasi ekonomi sebenarnya masih berjalan dengan lancar.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ketika negara digambarkan kritikal kerana lonjakan kes positif Covid-19 di Lembah Klang – prestasi ekonomi sebenarnya masih berjalan dengan lancar.

Pengarah Komunikasi PKN Negeri Sembilan, Mustafa Kamal Abdul Rahman berkata, gambaran negatif itu acapkali dimainkan pembangkang kononnya keadaan ekonomi negara meruncing dan sangat kritikal.

Sebaliknya, Malaysia sebenarnya masih berada pada landasan betul malah berlaku telah peningkatan prestasi perdagangan dengan catatan sebanyak 48.7 peratus bagi keseluruhan jumlah dagangan pada Mei lalu.

“Nilai eksport dilaporkan melebihi nilai import dengan lebihan dagangan sejumlah RM13.74 bilion. Apa maksudnya? Itu bermakna perdagangan Malaysia lebih banyak aktiviti eksport ke luar negara. Ia petanda positif, duit untuk negara masuk melalui aktiviti perdagangan eksport,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mustafa Kamal Abdul Rahman
Mustafa Kamal Abdul Rahman.

Menurut Mustafa Kamal, nilai eksport ke Negara Kesatuan Eropah adalah RM7.50 bilion dan meningkat 33.5 peratus, Amerika Syarikat (RM10.39 bilion) meningkat 46.5 peratus dan China (RM13.87 bilion) meningkat 17.7 peratus.

Sebelum ini, keputusan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang membenarkan sektor perkilangan dalam senarai perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mendapat kecaman pelbagai pihak.

Malah banyak pihak mendesak kerajaan mengkaji semula keputusan itu dan mahu sektor perkilangan ditutup susulan peningkatan kes Covid-19 membabitkan kluster tempat kerja sejak Mei 2021.

Menurut Mustafa Kamal, peningkatan kadar perdagangan negara antara faktor utama yang diambil kira kerajaan apabila membuat keputusan untuk membenarkan sektor perkilangan beroperasi sehingga kini.

“Kebetulan negara-negara ini sudah pun membuka keseluruhan sektor utama ekonomi masing-masing dan situasi kehidupan komuniti telah kembali normal.

“Negara-negara ini juga sudah berjaya menanggani wabak Covid-19 dan mengisytihar ia adalah selsema biasa kerana seluruh rakyat mereka telah divaksinasi.

“Jangan terlalu negatif bahawa kerajaan tak bertindak serius kepada kilang-kilang yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hampir setiap hari membuat pengemaskinian operasi tindakan terhadap pengilang yang ingkar.

“Kita harus tenang dan bersabar. Setiap warganegara punya hak untuk kritik kerajaan tetapi jangan keterlaluan. Perlu ada pro dan kontra tiap hal. Usaha vaksinasi telah giat digerakkan.

“Sudah ada peningkatan angka vaksinasi setiap hari. Malah Malaysia juga telah menerima bekalan vaksin daripada negara-negara pengeluar vaksin,” katanya.

Beliau juga tidak menafikan tekanan daripada pembangkang yang mengambil kesempatan dengan menjana gerakan menjatuhkan pemerintah sangat ketara ketika ini.

“Sidang Parlimen digesa dilangsungkan awalnya bermotif untuk kepentingan rakyat tetapi kini lebih menyerlah keperluan politik individu untuk mengejar cita-cita menjadi Perdana Menteri.

“Kalau tidak benar, takkanlah berulang kali beberapa pimpinan utama UMNO menafikan gerakan berkaitan. Jelas ada usaha untuk manuver pemerintahan negara dalam situasi kritikal yang disemarakkan oleh aktivis-aktivis pembangkang,” ulasnya.

Katanya, kemarahan rakyat mungkin reda sekiranya kerajaan giat mempertingkatkan kadar pemberian vaksin kerana jaminan keselamatan kesihatan itu akan lebih diyakini rakyat.

“Setelah kadar imuniti dicapai lebih awal daripada sasaran atau peratusan lebih tinggi, ekonomi kembali dibuka maka seluruh rakyat sudah boleh kembali bekerja seperti biasa.

“Malaysia menyasarkan 80 peratus imunisasi kelompok menjelang Oktober ini, tetapi ia berupaya mencapai lebih cepat jika bekalan vaksin terus ditambah,” katanya lagi . – MalaysiaGazette