Novak Djokovic menghampiri gelaran Grand Slam ke-20 apabila menang bergaya tiga set menentang pemain Hungary dalam suku akhir Wimbledon hari ini.Foto Kredit :Andy Hooper Daily Mail.

LONDON – Novak Djokovic berjaya melangkah ke separuh akhir kejohanan Tenis Terbuka Wimbledon 2021 hari ini.

Dalam aksi suku akhir berlangsung di Wimbledon, pemain nombor satu dunia selaku juara bertahan edisi lalu dengan mudah menang dalam tiga set 6-3 6-4 6-4 ke atas pemain Hungary, Fucsovics.

Bagi Fucsovics ia merupakan aksi suku akhir pertama Wimbledon dalam kariernya.

Selepas ini Djokovic akan bertemu jaguh Rusia yang menduduki rangking ke-25 dunia, Karen Khachanov atau pemain Kanada Denis Shapovalov pada Jumaat ini.

Jaguh kelahiran Serbia itu kini hanya mempunyai dua langkah sebelum menyamai rekod 20 Grand Slam dengan Roger Federer dan Rafael Nadal.

Selepas muncul Juara Terbuka Australia dan Perancis tahun ini, dia kini memburu gelaran Wimbledon.

Dengan Nadal tidak beraksi dan Federer yang masih dalam saingan kini dia berpeluang melebarkan rekod kejuaraannya menerusi Wimbledon jika berjaya melangkah ke pusingan akhir nanti.

Federer yang akan genap usia 40 tahun Ogos ini berentap dalam satu lagi aksi suku akhir bersama jaguh Poland, Hubert Hurkacz bagi membuat perhitungan ke separuh akhir.-MalaysiaGazette