KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan menyambut baik ketetapan dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu malam tadi untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sambil menyifatkan sebagai satu keputusan yang cermat, Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, ia dibuat selepas melalui proses pertimbangan dan musyawarah demi kebaikan parti serta rakyat.
Keputusan itu katanya, menjelaskan sebab penolakan terhadap kepimipinan Muhyiddin yang ternyata gagal dalam memenuhi tujuh pra syarat sokongan UMNO terhadap pentadbiran beliau.
“Antara lain beliau diyakini gagal mengurus krisis pandemik Covid-19 dan menyalahgunakan pengisytiharan darurat.
“UMNO juga tidak boleh berkompromi dengan pernyatan serta perlakuan Muhyiddin yang membelakangi titah Yang di-Pertuan Agong seperti mana beliau melengah-lengahkan sidang Parlimen, walaupun beberapa kali ditegur Tuanku baginda.
“Kami juga melihat kegagalan Muhyiddin dari sudut menangani pandemik Covid-19 dengan cara betul tanpa menyeksa rakyat yang dipaksa berkurung sia-sia, ditambah pula dengan bantuan lambat diumumkan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Awal pagi tadi, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penarikan balik sokongan parti itu terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tetapi pada masa sama kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat MKT UMNO yang berlangsung secara maya malam tadi, dengan dua pertiga dari ahli MT bersetuju keputusan itu.
Menurut Noor Hariri, Pemuda UMNO Kelantan turut dilihat banyak berpihak kepada pihak yang berkepentiangan seperti kilang dan bank.
Kata beliau, selaras dengan ketetapan itu, Ahli Parlimen UMNO perlu memberi contoh kepada ahli dan pemimpin akar umbi dengan menghormati sepenuhnya setiap keputusan yang dibuat MKT.
Ini ujarnya, termasuk untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang berkuatkuasa serta merta tanpa sebarang keraguan lagi.
Keputusan MKT kali ini juga jelas menutup tanggapan politik jahat sesetengah pihak yang mendakwa UMNO akan mengadakan jajaran baharu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.
“Keputusan ini adalah selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 iaitu “No PPBM, No Anwar, No DAP”.
“Kami mendesak semua Ahli Parlimen UMNO termasuk yang memegang jawatan dalam pentadbiran Muhyiddin untuk segera menyatakan pendirian masing-masing dengan mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh MKT UMNO malam tadi.
“Ini bagi menzahirkan bukti kepentingan parti diutamakan, jauh mendahului kepentingan peribadi,” katanya.
Beliau bersama Pemuda UMNO Kelantan meminta Muhyiddin mengundur diri secara terhormat bagi membuktikan beliau seorang pemimpin berjiwa besar. – MalaysiaGazette