Noorkhiriah digandingkan dengan pelakon hebat tanah air termasuk Fauziah Ahmad Daud (kiri) dalam drama Ayahanda.

KUALA LUMPUR – Keterujaan Noorkhiriah cukup berganda apabila menjayakan drama 13 episod, Ayahanda terbitan Zeel Production yang memulakan siaran di TV3 menerusi slot Lestary tidak lama lagi.

Tidak hanya digandingkan dengan pelakon hebat tanah air termasuk Fauziah Ahmad Daud, malah pembabitan dalam drama arahan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar itu turut mengembalikan nostalgia awal pembabitan seni.

Kata pemenang tiga kali kategori Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH, pengarah dan pelakon yang diperkenalkan menerusi filem Permintaan Terakhir pada 1975 itulah yang menjadi orang penting membawanya ke industri seni.

“Bukan hanya dapat berlakon dengan pelakon lagenda Kak Ogy dan abang Jalil Hamid serta bakat besar seperti Fikry Ibrahim, Hairi Safwan dan Shah Jaszle, tapi juga bekerja dengan pengarahnya. Memang teruja lain macam. Apatah lagi karya drama ini diangkat daripada novel terbaik dan kisah benar.

“Pengarahnya yang mula mula menyedari saya ketika menghadiri uji bakat Artis Kebudayaan di Kuantan sekitar tahun 1995. Masa itu, beliau bersama salah seorang lagi panel juri mengadili peserta yang datang.

“Saya pula tak reti menari, keras dan kaku. Menyanyi pun kelaut. Cuma ketika uji bakat itu juga, saya turut disuruh berlakon jadi orang gila. Kehadiran dan bakat saya diperhatikannya sekali gus meluluskan peluang uji bakat sampailah saya dapat menyertai Kompleks Budaya Negara di KL yang kini dikenali sebagai Istana Budaya,” katanya yang memegang watak Halimah dalam drama berkenaan.

Drama 13 episod, Ayahanda terbitan Zeel Production akan memulakan siaran di TV3 menerusi slot Lestary tidak lama lagi.

Hingga kini, Noorkhiriah atau nama penuhnya Noorkhiriah Ahmad Shapie tidak pernah melupakan momen permulaan kembara seninya itu.

“Saya takkan melupakan jasa beliau yang membuka jalan untuk saya mencuba nasib dalam dunia seni. Malah saya pernah bekerja di bawah arahannya dalam sebuah telefilem pada tahun 1997. Dalam telefilem itu, beliau turut berlakon dan saya menjadi anak kepadanya.

“Malah selepas itu, saya pernah berlakon teater Rubiah di Istana Budaya diarahkannya juga. Ketika itu watak Rubiah dilakonkan Fauziah Latiff. Terbaru dapat peluang pula untuk drama Ayahanda dan ia satu pengalaman berharga bekerja di bawah pengarah sepertinya.

“Saya yang tak pandai bab pengarahan ini pun jadi seronok tengok beliau mengarah. Setiap gerak kamera di bawah arahannya ada maksud dan tak kosong,” katanya yang tahun ini sempat membintangi drama Rindu Awak Separuh Nyawa diterajui Uqasha Senrose dan Shukri Yahaya.

Menerusi drama Ayahanda juga, Noorkhiriah melakonkan watak kakak kepada tiga orang adik iaitu lakonan Hairi, Shahz Jaszle dan Fikry.

Manakala Ogy pula melakonkan watak ibu kepada empat beradik itu. Penggambaran dibuat sekitar dua minggu di Perlis.

“Saya juga teruja dan gementar berlakon dengan Kak Ogy pada mulanya. Pelakon filem Azura kot. Siapa tak gembira dan bangga. Namun Kak Ogy sangat positif kerana gementar saya hilang selepas dia banyak mencurah ilmu dan pengalaman.

“Berlakon dengan produksi drama ini juga memberi ‘vibes’ yang sangat menyeronokkan. Saya juga perlu bercakap dalam loghat Utara untuk drama. Dalam hal ini, Hairi banyak membantu kerana dia berasal dari Kedah,” katanya.

Ayahanda diadaptasi dari kisah benar novel ‘award winning’ tulisan Allahyarham Azizi Abdullah.

Drama Ayahanda akan mengambil giliran siaran selepas berakhirnya drama Budak Tebing 2. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast