Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Setelah kes positif Covid-19 mencanak kepada lebih 8,000 kes pada hari ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan nada tegas menyatakan cara kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengekang virus itu ternyata gagal.

Menurut beliau, biarpun PN dilanda kemelut politik namun itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan penularan pandemik itu di negara ini.

“Kita perlu lebih serius pak menteri! Teguran dan pandangan pakar-pakar kena ambil kira. Pendekatan sekarang ini TERNYATA GAGAL!,” katanya menerusi akaun Twitter hari ini.

Ccarta Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan Selangor kekal sebagai penyumbang utama kes positif baharu Covid-19 di negara ini dengan 4,152 kes.

Ia disusuli  Kuala Lumpur (1,133), Negeri Sembilan (897), Perak (543), Kedah (360), Johor (336) dan Sarawak (281), Sabah (279), Pulau Pinang (237), Melaka (182), Pahang (152), Kelantan (135), Terengganu (68), Labuan (64) Putrajaya (47), manakala Perlis hanya satu kes.

Untuk rekod, kali terakhir jumlah positif Covid-19 mencecah lebih 8,000 kes adalah pada 28 Mei lalu dengan 8,290 kes.

Anwar berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar nyata gagal untuk menurunkan kes positif Covid-19.

“Rakyat berkurung hampir 2 bulan. Namun, kes terus tinggi. Ramai yang hilang pendapatan dan dilanda kemurungan. Kes bunuh diri juga meningkat,” ujarnya.

Presiden PKR itu sebelum ini mendakwa kegagalan paling besar dilakukan kerajaan PN dalam mengawal pandemik Covid-19 di negara ini adalah tidak menyediakan vaksin yang mencukupi.

Katanya, keadaan itu dapat dilihat apabila kadar pemberian suntikan vaksin ketika ini masih lagi rendah. – MalaysiaGazette