Sunday, April 28, 2024
Home Politik Lantikan TPM pun langsung tidak rujuk UMNO

Lantikan TPM pun langsung tidak rujuk UMNO

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semasa bergambar bersama Pemuda-pemuda UMNO pada Upacara Menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 28 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri semalam tidak langsung dirujuk kepada UMNO sedangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tahu bahawa pendirian parti itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 19 Februari lalu di ILMU Janda Baik telah menetapkan pendirian untuk tidak bersetuju dan meletakkan titik noktah kepada sebarang tawaran jawatan TPM.

Jelas beliau, sehingga mesyuarat MKT malam tadi, keputusan itu belum dibatalkan oleh mesyuarat.

“Walaupun itu hak mutlak PM tetapi seharusnya sebagai rakan kongsi yang membentuk kerajaan, beliau sewajarnya mengemukakan tawaran terlebih dahulu kepada Parti untuk menominasi sesiapa. (Apa-apapun saya mewakili Pemuda UMNO turut menzahirkan ucapan tahniah buat Datuk Seri Ismail Sabri atas perlantikan),” katanya di hantaran Facebook miliknya di sini hari ini.

Asyraf menambah, MKT UMNO mencadangkan seorang Perdana Menteri bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, individu yang dilantik sebagai Perdana Menteri itu hanya berfungsi untuk satu tempoh terhad antara enam bulan hingga setahun bergantung kepada keadaan Covid-19 terutama aspek vaksinasi dan imunisasi.
“Memandangkan keadaan tidak mengizinkan untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU), seorang Perdana Menteri yang bakal dicadangkan kelak untuk menggantikan Muhyiddin hanya berfungsi untuk tempoh terhad.
“Sekiranya sudah mencapai tahap Imunisasi Berkelompok 80-90 peratus, maka rakyat dalam keadaan selamat untuk diadakan PRU,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata, UMNO tidak mencalonkan Presidennya sebagai calon Perdana Menteri baharu kerana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu menumpukan kepada membersihkan namanya di mahkamah.
“UMNO tidak ketandusan pemimpin-pemimpin termasuklah Datuk Seri ismail Sabri (Timbalan Perdana Menteri), Datuk Seri Hishamuddin (Menteri Kanan) dan ramai lagi yang punya pengalaman luas sebagai anggota pentadbiran zaman Barisan Nasional (BN) memerintah,” tulisnya. – MalaysiaGazette