Andy Sengiah bersama peguam, R Balamurali

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan seorang ejen hartanah membayar pampasan lebih RM300,000 kerana menyebarkan fitnah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir mengarahkan Darren Loh membayar ganti rugi saman fitnah itu kepada personaliti televisyen tempatan, Andy Sengiah.

Darren turut diarahkan mahkamah membayar kos guaman sebanyak RM30,000 selain diberi amaran supaya tidak mengulangi menyebarkan fitnah.

Andy yang merupakan seorang pengarah dan penerbit TV selain aktivis sosial mengambil tindakan saman terhadap ejen hartanah itu yang menulis berita tidak benar tentang dirinya menyebabkan imej beliau terjejas.

Darren yang didakwa tidak berpuas hati dengan satu kes tuntutan sewa difailkan Andy kemudian bertindak memberikan kenyataan berbaur fitnah selain membuat komen tidak elok tentang gaya pemakaian personaliti televisyen itu di laman Facebook.

Tulisan Darren dikongsi lebih 4,000 kali.

Sementara itu, Andy berkata, beliau gembira dengan keputusan mahkamah itu dan berharap ia akan menjadi pengajaran kepada masyarakat agar berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Sebagai seorang personaliti yang dikenali ramai, reputasi kita sangat penting dan sesuatu yang kita tidak boleh langsung kompromi.

“Saya selaku Timbalan Presiden Pertubuhan Pusat Aduan Rakyat Malaysia telah hadir ke mahkamah untuk menyokong seorang wanita yang telah meminta bantuan daripada saya tetapi defenden telah bertindak menulis sesuatu yang tidak benar tentang saya.

“Akibat perkongsian ribuan orang dalam Facebook, kenalan dan orang ramai mula menelefon dan menyoal tentang posting yang tidak betul tentang saya.

“Saya gembira dengan keputusan mahkamah yang telah memihak kepada saya, kebenaran akhirnya terserlah yang akhirnya. Kebenaran perlu ditegakkan di pihak saya,” ujarnya.

Andy diwakili peguam, R Balamurali. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast