KUALA LUMPUR – Tiada sebarang pergerakan keluar dan masuk dikesan daripada mana-mana Menteri Kabinet di pekarangan Istana Negara setakat jam 7 malam ini.

Walaupun kurang 24 jam selepas UMNO menarik sokongan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun kelibat pemimpin nombor satu negara itu tidak kelihatan untuk masuk menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), hari ini.

Tinjauan MalaysiaGazette di Istana Negara sejak jam 3 petang tadi mendapati, tiada sebuah kenderaan pun memasuki mahupun mendekati pintu gerbang utama Istana Negara.

Malah dataran berdekatan pintu gerbang Istana Negara itu turut disekat dengan kon polis berwarna jingga daripada sebarang lalu lintas.

Sebaliknya hanya kelihatan beberapa petugas media yang bersiap sedia untuk membuat liputan sekiranya Muhyiddin mahu menghadap YDPA.

MalaysiaGazette tidak menolak Muhyiddin akan menghadap YDPA selepas Presiden Bersatu itu hilang sokongan daripada UMNO sebagai Perdana Menteri.

Pendirian mengejut itu diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam semalam. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sekarang wakru Darurat tidak sesuai buat Pilihanraya, lebih baik tunggu siapa yang ada cukup SD dari YB parlimen menghadap Tuanku. PM jangan letak jawatan kerana ini lagi menyusahkan, pelabur akan lari, dana kerajaan untuk bantuan rakyat akan tergendala.

Comments are closed.