Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) menimbulkan persoalan undang-undang dan krisis Perlembagaan sama ada Malaysia sekarang mempunyai kerajaan yang sah.

Dengan keputusan itu, UMNO yang mempunyai 38 Ahli Parlimen telah menyebabkan kerajaan PN hilang majoriti dengan hanya diwakili 77 Ahli Parlimen dari Bersatu dan bekas PKR.

Justeru, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil, jumlah 77 itu jauh daripada jumlah threshold 111 mengikut Perkara 43 (2) dan (4) Perlembagaan Persekutuan untuk membentuk sokongan majoriti – jumlah kerusi Parlimen kini 220.

Maka, kata beliau, secara teknikal kerajaan PN telah jatuh kerana asas sesebuah kerajaan bergantung kepada keabsahan Perdana Menteri yang perlu mempunyai keyakinan majoriti seperti mana kehendak Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, secara undang-undang pula, majoriti dimiliki Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih tergantung selagi mana tiada pengumuman rasmi jumlah Ahli Parlimen UMNO yang menarik diri daripada kerajaan PN.

“Ini kerana Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menyebut mengenai sokongan Ahli Parlimen, bukan parti politik yang diwakili mereka.

“Secara politik pula, Muhyiddin telah diberikan isyarat jelas bahawa parti gabungan PN telah menarik sokongan terhadap beliau, maka secara politik dan moralnya, beliau perlu meletakkan jawatan.

“Kaedah kehilangan atau keabsahan majoriti seseorang Ahli Parlimen perlu diputuskan dalam Parlimen seperti mana precedent kes Stephen Kalong Ningkan.

“Namun, precedent kes Datuk Seri Mohamad Nizar, majoriti boleh ditentukan di luar Parlimen,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Faiz, memandangkan titah Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen bersidang segera, adalah penting dan wajib dibuka secepat mungkin serta usul undi percaya terhadap Muhyiddin perlu dijadikan urusan pertama.

Jelas beliau, usul itu boleh dibawa Ahli Parlimen Pas yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang pernah mengemukakannya terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah dahulu.

“Perdana Menteri adalah institusi berperlembagaan dan seharusnya keabsahannya dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Jika Perdana Menteri Israel dan Sweden berani untuk diuji keabsahan di Parlimen, Muhyiddin perlu juga perlu berani mengambil langkah sama supaya Keluhuran Undang-Undang dan Perlembagaan dijunjung dan institusi demokrasi dipelihara.

“Sebaiknya, Muhyiddin hendaklah secara terhormat meletakkan jawatan itu dan seorang Ahli Parlimen yang mempunyai keyakinan majoriti dilantik sebagai Pedana Menteri,” ujar beliau.

Kata Faiz, negara perlu dipulihkan, bukan masanya lagi berpolitik untuk kepentingan parti atau peribadi.

“PH sebagai blok terbesar seharusnya diberikan peluang oleh Ahli-ahli Parlimen lain untuk mengambil alih pentadbiran negara demi kemaslahatan rakyat yang kini sengsara akibat kegagalan kerajaan PN,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast