Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditemani isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan diiringi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri), Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali (dua kiri) melambaikan tangan kepada para media sebelum mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke 8 di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 01 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Rakyat negara diminta tunggu dan lihat perkembangan terkini kemelut yang melanda kerajaan Perikatan Nasional selepas UMNO menarik sokongan ke atas perdana menteri.

Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusof berkata, pendekatan itu perlu diambil kerana sejumlah besar ahli-ahli Parlimen UMNO masih berada dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita perlu menunggu terlebih dahulu untuk melihat berapa banyak Ahli Parlimen UMNO yang akan kekal dalam pemerintahan PN dan berapa banyak yang akan menarik diri sebelum kita dapat membuat kesimpulan pasti mengenai nasib kerajaan PN.

“Ia sehingga semua Akaun Bersumpah (SD) yang menyatakan bahawa Ahli-ahli Parlimen UMNO tidak menyokong Muhyiddin,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Situasi politik negara hangat semalam apabila UMNO mengambil pendirian untuk menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Selaras keputusan itu, UMNO menerusi Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menuntut supaya Muhyiddin meletak jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

MKT UMNO turut menegaskan sebarang usaha untuk mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri akan ditolak sepenuhnya oleh parti itu.

Ahmad Zahid juga berkata penolakan itu termasuklah kerjasama parti itu dengan DAP.

Dr Kamarul Zaman Yusof

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, sudah tentu buat masa ini Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu isu mengenai kepimpinan Muhyiddin diselesaikan segera.

Beliau berkata, pendekatan itu perlu dibuat memandangkan sifat SD yang rapuh untuk dipegang oleh Muhyiddin.

“Jika Muhyiddin benar-benar telah dianggap kehilangan kepercayaan majoriti ahli Parlimen, maka kerajaan sementara seperti yang dikehendaki oleh Ahmad Zahid tidak akan berlaku secara automatik.

“Ini kerana Muhyiddin mempunyai pilihan untuk membubarkan Parlimen, melainkan pendekatan itu tidak mendapat perkenan Al-Sultan,” katanya lagi.

Untuk rekod, seramai sembilan pemimpin UMNO dilantik sebagai menteri dalam Kabinet Muhyiddin antaranya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Noraini Ahmad, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Halimah Mohamed Sadique, Khairy Jamaluddin, dan Datuk Seri Dr Adham Baba. – MalaysiaGazette