Gambar hiasan.

SEBERANG PERAI – Seorang peniaga produk kesihatan dan pakaian rugi RM116,734 akibat diperdaya sindiket perjudian wang di media sosial baru-baru ini.

Mangsa, wanita berusia 39 tahun dikatakan terjerat dalam penipuan itu selepas berkenalan dengan seorang lelaki warga China yang mendakwa pengurus di sebuah syarikat perjudian di Macau.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek menjanjikan pulangan tetap sebanyak 10 peratus daripada setiap transaksi yang dilakukan mangsa.

Noorzainy.

“Selain itu, suspek turut menjanjikan akan membantu mangsa pasarkan produk kesihatan dan pakaian milik wanita itu di China sekiranya dia mahu bertaruh dalam perjudian yang dijalankan oleh syarikatnya.

“Susulan itu, mangsa telah buat beberapa kali transaksi ke beberapa akaun tempatan yang melibatkan kerugian berjumlah RM116,734.

“Siasatan lanjut juga mendapati mereka tidak pernah bersua muka dan hanya berhubung dengan suspek melalui aplikasi Whatsapp,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan sama, Noorzainy menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sebarang aktiviti perjudian menggunakan konsep pelaburan yang dijalankan oleh mana-mana pihak kerana tiada jalan mudah untuk mendapatkan wang dalam keadaan negara yang dilanda pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette