KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menurunkan yuran pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta berikutan pandemik Covid-19.
Pengerusinya, Dr. Maszlee Malik berkata, gesaan itu bagi menjaga kepentingan kira-kira 500,000 pelajar IPT di seluruh negara.
“Kita mengambil maklum beberapa siri pertemuan diadakan antara pelajar dengan pentadbir universiti dan terkini pertemuan mereka dengan KPT berhubung perkara itu.
“JKPPH bersetuju tuntutan siswa agar universiti awam (UA) menurun dan mengecualikan yuran tidak berkaitan ketika kebanyakan penuntut menjalankan sesi kuliah dan pembelajaran secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan bersama dengan pimpinan PH.
Kenyataan itu turut ditandatangani Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR, Datuk Dr. Hasan Bahrom (Amanah), Teo Nie Ching (DAP), Natrah Ismail (PKR), Steven Sim Chee Keong (DAP) dan Rusnah Aluai (PKR).
Menurut Dr. Maszlee, jawatankuasa itu cakna dengan survival IPTS yang kebanyakannya dilanda krisis sepanjang wabak Covid-19.
Universiti mengalami kekurangan pelajar baharu sedangkan kemasukan mereka adalah punca pendapatan kepada IPTS tempatan.
Jelas Maszlee, pihaknya sedar kerajaan harus mengambil langkah tidak konvensional dalam menangani krisis pendidikan ketika wabak melanda.
“Keadaan getir dan luar biasa ini memerlukan pendekatan tidak konvensional dalam memastikan proses pendidikan tidak terganggu dan akses rakyat kepada pendidikan berkualiti di peringkat pengajian tinggi akan terus lestari kendatipun wabak yang melanda,” katanya
Berhubung isu itu, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam mengemukakan empat gesaan kepada KPT.
Gesaan itu antaranya, menurunkan yuran di UA selaras tuntutan siswa dan memberikan subsidi tambahan kepada universiti di atas penurunan tersebut untuk menampung kos pengurusan melalui geran khas sementara krisis ekonomi dan wabak yang melanda.
Menyalurkan lebih banyak geran untuk pembangunan infrastruktur dan infostruktur digital di semua 20 UA demi memastikan kelancaran pembelajaran secara digital dapat dijalankan demi keselesaan dan kemudahan pembelajaran dan pengajaran siswa serta pensyarah.
Bagi IPTS pula, kerajaan perlu mengimbangkan antara kelangsungan pengurusan terbabit dan kemaslahatan pelajar dengan cadangan kerajaan memberikan subsidi bayaran yuran dari keluarga B40 dan M40 yang memungkinkan pihak IPTS membuat penurunan yuran dikenakan ke atas mereka.
JKPPH juga, katanya, mencadangkan pengecualian cukai ke atas IPTS berdasarkan jumlah biasiswa dan penurunan yuran yang mereka berikan kepada pelajar tempatan. – MalaysiaGazette