Mohd Kamarudin Md. Din pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman menerima sebanyak 508 laporan kes berkaitan aktiviti pinjaman wang tanpa lesen atau ah long sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menurut Pengarah JSJK, Datuk Mohd Kamarudin Md. Din, jumlah itu melibatkan jumlah pinjaman kira-kira RM2.5 juta  sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan itu disebabkan tindakan sindiket ah long mengambil kesempatan dengan kesempitan hidup rakyat yang berdepan dengan pandemik Covid-19 untuk menawarkan pinjaman secara haram.

“Kita memandang serius aktiviti ini terutama dalam keadaan pandemik Covid-19 yang melanda negara ini sejak awal 2020 hingga kini.

“Berdasarkan laporan itu, pasukan JSJK telah menjalankan siasatan dan tangkapan dan mulai tempoh enam bulan itu kita telah menangkap 508 orang yang terlibat dengan sindiket terbabit.

“Bagi mengekang aktiviti ini, pihak JSJK telah merancang operasi khas bermula 2 Julai lalu malah pada 6 dan 7 Julai lalu, kita telah mengerakkan satu operasi khusus ke atas ah long ini di seluruh negara,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya, hari ini.

Menurut Mohd Kamarudin, hasil daripada operasi dua hari itu, pihaknya berjaya menangkap 84 individu dipercayai ah long yang mana 64 daripadanya Cina, 12 Melayu, tujuh India dan seorang Iban.

Mereka berumur antara 20 hingga 59 tahun dan terlibat dalam beberapa ahli sindiket di Pulai Pinang, Kuala Lumpur, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Semua mereka disiasat bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi ancaman dan ugutan jenayah serta beberapa seksyen lain.

“Dalam operasi itu, kita membuat ramasan barangan seperti kereta, telefon bimbit, kad ATM, buku nota, wang tunai RM45,000, jam tangan, barang kemas, cat minyak, risalah pinjaman wang dan sebagainya.

“Hasil daripada risikan juga mendapati kebanyakan sindiket ini beroperasi sejak 2018. Mereka membuat pinjaman melalui iklan di aplikasi media sosial seperti Facebook, Weechat, Whatsapp,” katanya.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat pinjaman dengan pihak yang tidak berlesen kerana jika gagal membayarnya individu terbabit akan menerima pelbagai ugutan dan ancaman melalui telefon atau simbah cat dan sebagainya.

Mohd Kamarudin juga mendapati sindiket berkenaan berpakat sesama mereka untuk memberi pinjaman kepada yang gagal menyelesaikan pinjaman lama dengan menawarkan pinjaman baharu.

“Ini menyebabkan mangsa akan membuat pinjaman daripada lebih ramai ah long dan akan berdepan dengan masalah tekanan hidup jika gagal membayar hutang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast