Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Slogan “Demi Malaysia” dipilih menjadi judul lagu tema rasmi  pembakar semangat kontinjen negara dan rakyat menuju temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 yang masing-masing bermula pada bulan ini dan Ogos.

Lagu berdurasi dua minit ciptaan Zimi dan lirik oleh Jerry itu dinyanyikan tiga artis popular tanah air iaitu legenda rock Datuk Awie, juara sulung Malaysian Idol Jaclyn Victor dan juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 Naim Daniel, menurut kenyataan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini.

Menurut kenyataan itu, pemilihan ketiga-ketiga artis berkenaan dibuat berdasarkan keunikan suara yang bersesuaian dengan konsep lagu yang digubah selain populariti mereka dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Demi Malaysia diilhamkan daripada semangat juang atlet negara yang akan beraksi di temasya Olimpik Tokyo 2020 bermula pada 23 Julai. Lagu dan lirik pula digubah untuk menyuntik semangat kebersamaan seluruh rakyat Malaysia agar sederap dan selangkah memberi sokongan kepada atlet kita,” katanya.

Pada masa sama, KBS turut mendapat kerjasama serta sokongan kumpulan penyokong setia pasukan bola sepak Malaysia, Ultras Malaya untuk memuatkan sorakan “Demi Malaysia” dalam gubahan lagu itu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan komposisi lagu Demi Malaysia merupakan manifestasi iltizam dan semangat seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendahulukan kepentingan negara dalam apa jua keadaan.

Terdahulu, slogan “Demi Malaysia” diangkat sebagai sorakan semangat buat atlet negara pada pelancaran Detik 100 Hari Ke Tokyo 2020 pada April lepas. – MalaysiaGazette