BANDAR BARU BANGI – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memberi jaminan fasiliti kesihatan di negeri itu masih mampu menampung pertambahan pesakit Covid-19 yang dirujuk ke hospital bagi rawatan lanjut.
Pengarah, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, lebih banyak katil dan pembukaan wad dilakukan pihaknya bagi menampung pertambahan pesakit susulan jumlah kes harian Covid-19 di Selangor kini mencecah lebih 4,000 kes.
“Di Hospital Serdang ada pertambahan 100 katil dan di Hospital Ampang pula lebih kurang 50 katil tambahan disediakan, yang boleh digunakan serta-merta.
“Kita juga dalam perancangan menjadikan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Sungai Buloh sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 boleh menempatkan 1,200 pesakit dalam satu-satu masa,” katanya kepada pemberita di pekarangan Pangsapuri Sri Ayu, hari ini.
Terdahulu beliau bersama Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari meninjau pemberian vaksin Covid-19 kepada 1,000 penduduk yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di situ.
Ditanya mengenai isu kesesakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, beliau berkata, beberapa inisiatif telah diambil bagi melicinkan proses rawatan kepada pesakit Covid-19.
“Antaranya menjadikan pusat rawatan harian di hospital itu sebagai tempat merawat pesakit Covid-19,” jelasnya.
Katanya, pihak HTAR juga akan menggunakan asrama doktor pelatih sebagai wad untuk pesakit COVID-19.
“Pada minggu hadapan, akan ada tambahan 151 katil di HTAR, jadi saya yakin HTAR masih mampu menampung sekiranya ada pertambahan kes baharu Covid-19,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menggerakkan beberapa petugas dari negeri-negeri lain untuk membantu menangani situasi COVID-19 di Lembah Klang.
“Ia membabitkan pegawai perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan dari Sabah, Perak, Perlis dan Terengganu,” katanya.
Katanya lagi, salah satu strategi jabatannya dalam mendepani pertambahan pesakit ialah dengan menjadikan sebuah lagi hospital sebagai hospital Covid-19.
“Hospital itu akan kita umumkan apabila tiba masanya, buat masa ini persiapan sedang dijalankan bagi memastikan hospital itu bersedia menerima pesakit Covid-19,” katanya lagi. – MalaysiaGazette