RoS Registrar of Society Parti Pejuang Tanahair Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto AFIQ HAMBALI.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merakamkan rasa penghargaan tidak terhingga kepada setiap orang yang menzahirkan ucapan selamat sempena ulang tahun beliau ke-96 hari ini.

Menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau sebentar tadi, Dr Mahathur bersyukur kerana diberikan usia dan peluang untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara selama ini.

“Saya ingin ucap terima kasih kepada semua yang telah ucap Selamat Hari Lahir saya yang ke-96. Saya syukur kerana diberi masa dan peluang untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.

“Saya pohon maaf jika ada yang saya lakukan menyinggung mana-mana pihak. Saya berdoa supaya negara tercinta ini dimajukan oleh semua pihak sehingga tercapai matlamat kita untuk menjadi negara maju.

“InsyaAllah. Terima kasih,” katanya hari ini.

Terdahulu pagi tadi, beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi turut berseloroh dengan kumpulan media melalui rakaman suara di laman sosial WhatsApp.

Kata beliau, ucapan hari jadi itu sebenarnya telah mengingatkan beliau tentang umurnya yang semakin berusia.

“Hello semua, terima kasih kerana mengucapkan selamat hari lahir. Sekarang saya sudah berusia 96 tahun.

”Terima kasih kerana mengingatkan bahawa saya semakin tua, bagaimanapun terima kasih kerana mengingati saya dan mengucapkan happy birthday,” katanya dengan suara cerita.

Dr Mahathir telah memimpin negara sebagai Perdana Menteri dua kali dalam sejarah dengan kali pertama selama 22 tahun di bawah Barisan Nasional (BN).

Beliau juga berpeluang mentadbir negara 22 bulan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri ke-7 sejak Mei 2018 sehinggalah ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan beliau meletak jawatan pada 2020.

Beliau pertama kali dilantik menjadi Perdana Menteri keempat pada 1981 sewaktu berumur 56 tahun sebelum meletakkan jawatan pada 2003 dan kemudian cipta sejarah dengan memimpin negara ketika usia 92 tahun.

Beliau kembali sebagai perdana menteri setelah 15 tahun meletakkan jawatan tersebut.

Hari ini beliau memimpin parti politik sebagai Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) selepas meletak jawatan Perdana Menteri pada 24 Februari tahun lalu dan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). -MalaysiaGazette