Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi.

KUALA LUMPUR – Mengekalkan jawatan empat menteri kanan hanya satu pembaziran, tegas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zakarshi.

Katanya, keempat-empat jawatan itu tidak lagi diperlukan memandangkan Timbalan Perdana Menteri telah dilantik baru-baru ini.

“Tidakkah itu satu pembaziran. Lagi pun apa peranan dan bidang kuasa mereka kecuali dapat keistimewaan polis pengiring?

“Sepatutnya dengan pandemik Covid-19 ini jawatan menteri kanan termasuk wakil wakil yang bertaraf menteri ditamatkan sahaja. Membazir dan tiada team work,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, tambah beliau,  jemaah Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai  70 menteri dan timbalan merupakan jumlah yang terlalu ramai.

“Sekarang nampak macam empat menteri sahaja yang bekerja. Ada pula menteri yang kerjanya buka pintu belakang. Menteri kanan pula tu,” sindirnya.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini merupakan Timbalan Perdana Menteri, dalam masa yang sama memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Dalam pada itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

Untuk rekod, selepas menubuhkan kerajaan pada tahun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik empat Menteri Kanan ketika Timbalan Perdana Menteri belum dilantik.
-MalaysiaGazette