Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghantar usul bagi memastikan sidang Dewan Rakyat akan datang membahaskan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2021).

Ia membabitkan perkara-perkara mengenai pandemik Covid-19 seperti vaksinasi, perbelanjaan dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Anwar berkata, beliau mengusulkan perkara itu kerana menyedari proklamasi dan ordinan itu gagal mencapai maksud utama iaitu melandaikan keluk jangkitan virus tersebut.

“Menginsafi keadaan ekonomi negara semakin parah sehingga pelbagai petunjuk menuju ke arah negara gagal,” katanya yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menerusi surat pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin.

Pada 16 Jun lalu, Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan sesi persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan PPN dibahaskan ahli Dewan Rakyat.

Titah Seri Paduka Baginda, Parlimen berperanan sebagai satu platform penting untuk wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak Covid-19.

Menurut Anwar, keadaan ekonomi rakyat yang terus meruncing dan kesenjangan kaya dan miskin semakin melebar sehingga wujudnya kumpulan B60 turut diambil kira dalam mengemukakan usul tersebut. – MalaysiaGazette