Ronaldo merangkul anugerah kasut emas penjaring terbanyak Euro 2020

LONDON – Cristiano Ronaldo secara rasminya dianugerahkan kasut emas penjaring terbanyak kejohanan Piala Euro 2020 kali ini.

Bintang Portugal itu telah menjaringkan lima gol dan satu bantuan gol yang dihasilkan dalam kempen kejohanan kali ini yang menutup tirai semalam.

Kemenangan kasut emas itu disahkan semalam selepas England tewas 3-2 menerusi sepakan penalti dalam final kepada Itali yang menjulang Piala Euro kali ini.

Selepas kedua-dua pasukannya terikat seri 1-1 sehingga masa tambahan, pemenang ditentukan menerusi sepakan penalti yang kemudian menyaksikan the Three Lions gagal menyempurnakan tiga sepakannya.

Ronaldo menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan sepanjang kempen Euro kali ini setaraf dengan penyerang Czech Republic patrik Schick.

Bagaimanapun, Schick yang juga memiliki lima gol tetap gagal menghasilkan bantuan gol menyebabkan Ronaldo merangkul anugerah kasut emas kali ini.

Dua bintang England iaitu Harry kane dan Raheem Sterling juga bersaing untuk anugerah itu dengan tiga gol sebelum berpeluang menambah jaringan pada final menentang skuad Azzurri pada Ahad.

Bagaimanapun hanya Luke Shaw bangkit menjaringkan gol seawal minit kedua perlawanan dan Sterling serta Kane gagal membuka jaringan.-MalaysiaGazette