Prof. Dr. Aluwi Sari

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mendesak dua kementerian berkaitan dengan sekolah dan universiti memberikan vaksinasi segera kepada pelajar dan graduan.

Pengerusi Biro Pendidikan Putra, Prof. Dr. Mohd Aluwi Sari berkata, vaksinasi penting kepada mereka untuk meneruskan persekolahan dan pengajian mereka bagi sesi 2021/2022.

Usaha itu juga bagi mengelak golongan berkenaan tertekan dengan pembelajaran di sepanjang pandemik Covid-19 akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), katanya.

“Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara harus mengambil serius perkara ini. Rakyat termasuk pelajar sudah cukup tertekan dengan keadaan sekarang.

“Berikan mereka vaksin melalui sekolah atau institut pengajian tinggi (IPT) supaya mereka dapat belajar dengan tenang tanpa ada tekanan perasaan takut dijangkiti virus Covid-19.

“Jika semua pihak ini gagal melaksanakan pemberian suntikan vaksin dalam tempoh segera ini, ramai di kalangan pelajar dan graduan tidak dapat meneruskan pengajian dan persekolahan mereka sesi 2021/2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, berdasarkan aduan diterima, ramai pelajar dan graduan tidak mampu belajar secara atas talian kerana tidak mempunyai kemudahan internet selain gangguan talian.

Ini juga tegasnya, akan membebankan kos sara hidup ibu bapa B40 dan M40 yang paling terkesan dengan pandemik ditambah pula dengan pelaksanaan PKP berpanjangan.

Mohd Aluwi berkata, sehari dua ini pula negara dikejutkan dengan beberapa pelajar meninggal dunia disebabkan tekanan serta kos sara hidup dan pembelajaran yang tinggi.

Malah, ujarnya, ada dalam kalangan mereka tidak mampu menampung kos tambahan yang dikenakan.

“Ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk mengatasi tekanan perasaan anak sepanjang PKP ini dengan memberi perhatian dan selalu bertanya khabar pembelajarannya.

“Jangan sesekali menekan minda anak kerana mereka untuk masa sekarang tidak sama dengan anak di zaman 80-an duhulu.

“Guru, pensyarah dan tenaga pengajar juga perlu berperanan lebih bertimbang rasa ketika sesi pembelajaran secara atas talian dengan memberi ruang kepada pelajar untuk mengemaskinikan kerja sekolah atau aktiviti yang diberikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap, IPTA dan IPTS, malah di peringkat sekolah perlu menekan kerajaan agar mempercepatkan pemberian vaksin ini supaya suasana pembelajaran kembali normal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast