Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran (dua kanan) bersama Pengarah ALF HKM, Datuk Mohammad Alif Hakim (kanan) melihat barang-barang keperluan asas yang disumbangkan bagi membantu golongan terjejas di Bangunan Perdagangan D6, Kuala Lumpur.Foto HAZROL ZAINAL, 13 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kempen bendera putih yang dicetuskan rakyat baru-baru ini sebagai salah satu cara untuk meminta bantuan akibat terputus makanan mendapat sambutan baik daripada pelbagai pihak.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran tidak menafikan ada segelintir penduduk di kawasannya menyalahgunakannya bukan untuk meminta bantuan makanan sebaliknya mahu isu perumahan mereka diselesaikan selepas dilanda ribut baru-baru ini.

Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran bercakap pada sidang media selepas menerima sumbangan barang keperluan asas daripada ALF HKM Worldwide Empire bagi membantu golongan terjejas di Bangunan Perdagangan D6, Kuala Lumpur.Foto HAZROL ZAINAL, 13 JULAI 2021.

“Bendera putih memang banyak, baru-baru ini pun kita dapati ada bendera di Bandar Baru Sentul, pegawai saya pun pergi ke sana. Tujuan mereka menaikkan bendera putih ini pasal isu perumahan bukan mahu bakul makanan.

“Ada juga yang menggunakan bendera putih itu untuk minta bantuan lain, isu perumahan pun ada, isu bumbung sampai sekarang tak selesai sebab insurans tak bagi bayaran lagi untuk baik pulih.

“Masa ribut itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) letak kanvas untuk bantu sementara tapi kanvas itu sudah koyak, jadi mereka terpaksa letak bendera putih untuk minta perhatian,” katanya pada sidang media di Bandar Baru Sentul hari ini.

Terdahulu Prabakaran bersama Presiden NGO Gegar Malaysia, Roslan Ismail menerima sebanyak 200 bakul makanan daripada syarikat ALF HKM Worldwide Empire Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya, Datuk Mohamad Alif Hakim bagi membantu golongan B40 dan mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, setakat ini, sebanyak kira-kira 50 keluarga telah dibantu Pusat Khidmat Parlimen Batu selepas mereka dikesan menaikkan bendera putih di kediaman masing-masing.

“Bendera putih memang banyak, kita pun ada pasukan orang muda kita, kita minta mereka jalan-jalan tengok bendera putih ada atau tidak, banyak kawasan kita sudah masuk, ada lagi kita belum masuk, kita tengah uruskan.

“Bendera putih bukan kita sahaja bantu, kalau di kawasan sana, ada satu bendera putih, sebelum kita pergi pun orang sudah bantu, banyak kes pernah berlaku.

“Bila saya dapat tahu bendera putih dinaikkan, saya minta pasukan saya hantar bantuan, dalam perjalanan bendera putih pun sudah diturunkan sebab orang lain sudah bantu seperti jiran dan kawan-kawan mereka,” katanya.

Prabakaran turut tidak menafikan ada segelintir penerima bantuan bakul makanan itu yang tidak jujur yang terus menaikkan bendera putih meskipun bantuan sudah disalurkan kepada mereka.

“Kita ada juga kes walaupun mereka sudah dapat bantuan tapi bendera putih masih dinaikkan, kita nasihatkan mereka kalau sudah dapat kena turunkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast