Abdul Wahid Omar

KUALA LUMPUR – Dasar dan program yang bersesuaian amat penting bagi membolehkan pengenalpastian sektor atau wilayah yang memerlukan lebih banyak sokongan di tengah-tengah penguatkuasaan kawalan pergerakan di dalam negara pada masa ini, demikian menurut  Kelab Ekonomi Kuala Lumpur (ECKL) hari ini.

Pengerusi Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketiga dan seterusnya PKP Penuh telah menyekat pemulihan dan ini menyebabkan Bank Dunia menurunkan prospek pertumbuhan ekonominya untuk Malaysia bagi kali kedua kepada 4.5 peratus pada tahun 2021 – turun daripada pertumbuhan 6.0 peratus yang diunjurkan pada Mac 2021.

“Pandemik ini telah memberikan kesan tidak sekata ke atas sektor dan wilayah yang terbabit. Contohnya, sektor makanan dan minuman mengalami kadar penutupan yang lebih tinggi terutama di negeri bahagian utara yang mana vendor banyak bergantung kepada pelancong dari Kuala Lumpur dan Selangor untuk mengunjungi kedai/gerai mereka.

“Sektor pembuatan lain turut mengalami kadar penutupan yang sangat tinggi di Sabah/Sarawak,” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan di Persidangan Ekonomi Malaysia 2021 yang diadakan secara maya hari ini.

Abdul Wahid, yang juga pengerusi Bursa Malaysia Bhd berkata, usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar pemberian vaksinasi harus dipuji kerana ia akan membenarkan kawalan pergerakan dimansuhkan secepat mungkin untuk menyelamatkan ekonomi dan kehidupan rakyat.

Pada masa ini, sekitar 11.6 juta dos telah diberikan.

Seramai 3.6 juta orang atau 11.2 peratus penduduk telah divaksinasi sepenuhnya sementara lapan juta atau 24.6 peratus, telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

“Pada kadar sekarang iaitu 337,000 dos sehari, Malaysia mungkin mempunyai sekitar 70 peratus orang telah diberi vaksin sepenuhnya dalam tempoh 100 hari atau menjelang akhir Oktober 2021.

“Justeru, kita berharap seiring dengan peningkatan angka vaksinasi, kita boleh menghapuskan kawalan pergerakan secara meluas, sebaliknya, adakan lebih banyak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang disasarkan hanya di kawasan yang tinggi jangkitannya atau yang telah terjangkit,” katanya.

Beliau turut menyatakan ramai yang mungkin mengadu bahawa pakej rangsangan yang diperkenalkan oleh kerajaan tidak mencukupi.

“Tetapi tanpa pengenaan cukai meluas seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), sumber kerajaan agak terbatas dengan defisit fiskal 6.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 dan dijangka terus meningkat kepada 6.8 peratus pada tahun 2021 berbanding dengan unjuran rasmi sebelumnya iaitu 6.0 peratus,” kata Abdul Wahid.

Beliau menambah, kerajaan amat berhati-hati dan memperkenalkan inisiatif yang tidak perlu membebani kedudukan fiskalnya tetapi pada masa yang sama, membantu rakyat daripada kesan terburuk kemerosotan ekonomi.

“Ini adalah tindakan penyeimbangan yang amat teliti. Tetapi defisit fiskal dan paras hutang kerajaan yang terlalu tinggi mungkin membawa risiko kepada penurunan penarafan kredit, justeru boleh mengakibatkan kos pinjaman yang lebih tinggi dan berpotensi melemahkan mata wang.

“Oleh kerana itu, kita bersyukur kerana akaun semasa dalam imbangan pembayaran kita untuk suku pertama tahun 2021 kekal sihat pada RM12.3 bilion atau 3.3 peratus daripada KDNK, dan rizab antarabangsa BNM kita ialah US$111 bilion, memadai untuk membiayai 8.2 bulan import tertangguh,” kata beliau.

Sementara itu, sehingga kini, kerajaan telah memperkenalkan lapan pakej ekonomi, bermula dari Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada bulan Mac 2020 hingga yang paling terkini, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bulan lepas.

Secara kolektif, pakej-pakej ini berjumlah RM530 bilion dengan sejumlah RM83 bilion adalah dalam bentuk suntikan fiskal langsung.

Persidangan maya satu hari ini dianjurkan oleh Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik. – MalaysiaGazette