Bella Siti Bainun Rumah Bonda Down Syndrome abuse neglect

KUALA LUMPUR – Pihak kerajaan digesa mengambil tindakan tegas diambil oleh pihak kerajaan bagi memastikan rumah perlindungan/penjagaan beroperasi dengan mematuhi semua syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi-agensi kerajaan ke atas semua premis rumah kebajikan dan rumah perlindungan perlu dibuat secara lebih agresif.

Ketua Pejuanita Parti Pejuang Tanahair, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim berkata, rumah kebajikan tidak seharusnya mempergunakan penghuni untuk meraih simpati orang ramai untuk kutipan sumbangan dalam masa yang sama tidak menunaikan tanggungjawab penjagaan sempurna yang telah diamanahkan.

Lantaran itu, kerajaan juga digesa mempertimbangkan perkara-perkara berikut dalam memberi kebenaran kepada rumah-rumah kebajikan dan pelindungan untuk beroperasi iaitu rumah perlindungan yang berdaftar hendaklah mempunyai pekerja sosial yang berkelayakan dan kaunselor yang yang berdaftar dalam menggendalikan kes-kes di rumah-rumah perlindungan sebagai syarat pengoperasian.

Pengurus dan pekerja hendaklah melalui saringan rekod jenayah lampau dan saringan kesihatan mental terlebih dahulu sebelum dibenarkan bekerja di rumah-rumah perlindungan. Saringan ini perlu dibuat secara tahunan atau dwi tahunan.

Rumah perlindungan perlu mengemukakan laporan audit kewangan tahunan dan laporan tahunan untuk paparan orang awam sebagai amalan baik tadbir urus pengurusan.

Beliau berkata, kisah adik Bella, seorang kanak-kanak OKU berumur 13 tahun yang disyaki didera ketika di bawah jagaan Rumah Bonda, Kuala Lumpur, dipercayai hanyalah sekelumit dari bilangan kes-kes pengabaian yang masih tidak dilaporkan.

Tambahan pula, Rumah Bonda yang menjadi rumah kebajikan yang dikenali ramai dan sering mendapat kunjungan dari rakyat Malaysia yang prihatin untuk menyampaikan
pelbagai sumbangan sama ada dalam bentuk barangan atau kewangan melanggar syarat operasi kerana tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau menambah, kegagalan pihak berkuasa mengambil tindakan dengan lebih awal juga menimbulkan keraguan orang ramai terhadap kewibawaan pihak berkuasa.

Che Asmah yang kesal dengan kejadian yang berlaku, menuntut supaya keadilan dan pembelaan diberi kepada adik Bella dan kes-kes yang seumpamanya.

Dalam pada itu, orang ramai dipohon menjadi mata dan telinga masyarakat memantau kes-kes penderaan yang berlaku dan membuat aduan segera kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

Tindakan ini mungkin boleh menyelamatkan satu nyawa, ujar belia.

Orang ramai juga disarankan untuk menjadi penderma yang bijak dengan sentiasa menyemak status keabsahan pendaftaran rumah-rumah kebajikan sebelum menyalurkan bantuan kewangan bagi memastikan sumbangan yang disalurkan tidak disalah guna. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast