aplikasi mysejahtera
Gambar hiasan.

DI saat Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) rancak dijalankan, masih
ada individu yang tidak hadir janji temu untuk mendapatkan vaksin di Pusat-pusat
Pemberian Vaksin (PPV). Lebih membimbangkan, ramai di antara mereka yang gagal
hadir terdiri daripada golongan warga emas yang berisiko mendapat jangkitan yang
teruk sekiranya terjangkit COVID-19.

Kes baru harian yang melebihi 11,000 dicatatkan semalam (13 Julai 2021) amat
menakutkan. Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Dr Nor Hisham Abdullah
dalam sidang akhbarnya petang tadi dengan Menteri Kesihatan Malaysia menyifatkan
bahawa kes yang tinggi antara lainnya disebabkan oleh varian-varian yang mudah
merebak, pengambilan vaksin dapat mengurangkan kadar kematian.

Rata-rata mereka yang telah mengambil vaksin dilaporkan hanya mendapat jangkitan COVID-19 dalam kategori 1 dan 2 yang tidak memerlukan rawatan di hospital. Ini juga dapat mengurangkan beban hospital terutamanya di Lembah Klang yang sedia terbeban
dengan jumlah kes yang mendadak.

Bulan lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), YB
Khairy Jamaluddin mendedahkan bahawa hanya lebih kurang 80 peratus yang
memenuhi janji temu yang diberikan untuk menerima vaksin di PPV. Malah di beberapa
PPV, kadar kehadiran hanya sekitar 60 peratus.

Tinjauan kami sebagai Pengurus Harian di salah sebuah PPV mendapati bahawa
antara sebab utama mereka tidak hadir adalah kerana mereka tidak sedar janji temu
yang diberikan di aplikasi MySejahtera. Ini disebabkan mereka tidak mengemaskini
aplikasi tersebut. Memandangkan masih ramai penerima vaksin warga emas dalam
Fasa kedua PICK ini, kadar celik IT dan kebolehan menggunakan aplikasi ini adalah
terhad.

Tidak kurang yang terpaksa menunggu anak-anak ataupun saudara yang lebih
muda untuk mengemaskini dan menyemak aplikasi tersebut. Ada juga yang langsung
tidak tahu menahu tentang aplikasi MySejahtera kerana proses pendaftaran vaksin
dilakukan secara manual oleh badan-badan NGO, wakil rakyat atau klinik kesihatan
yang berhampiran.

Tidak mempunyai kenderaan untuk ke PPV juga ialah salah satu sebab yang
menghalang mereka untuk hadir. Ada warga emas yang terpaksa bergantung kepada
anak-anak atau saudara-mara mereka untuk ke PPV. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh kelewatan mengemaskini aplikasi menyebabkan mereka dapat tahu di saat akhir ataupun hanya mengetahui setelah menerima panggilan telefon atau SMS daripada PPV. Ini menyukarkan mereka untuk mengatur kenderaan ke PPV.

Di samping itu, sesetengah lokasi PPV yang terletak jauh dari rumah dan menelan kos
perjalanan yang tinggi. Keadaan diburukkan lagi dengan pelaksanaan PKPD di Lembah Klang dan Daerah Seremban, Negeri Sembilan.. Anak-anak tidak dapat pulang ke kampung bagi menemani ibu bapa mendapatkan vaksin kerana halangan perjalanan ataupun kerana ketiadaan wang akibat diberhentikan kerja. Tarikh janji temu yang berasingan di kalangan pasangan menyukarkan lagi rancangan perjalanan mereka.

Ada bakal penerima vaksin yang mempunyai penyakit serius dan takut untuk mendapatkan vaksin kerana bimbangkan kesan sampingan atau merasakan mereka
tidak layak menerima vaksin. Ada juga yang terlantar di rumah akibat komplikasi
penyakit darah tinggi yang menyebabkan mereka lumpuh setelah mendapat serangan
angin ahmar.

Saban hari, ada sahaja berita palsu mengenai kesan sampingan vaksin yang diedarkan
oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab. Golongan ‘atas pagar’ yang telah
mendaftar dan menerima janji temu, terpengaruh dengan dakyah palsu ini
menyebabkan mereka tidak hadir ke PPV.

Terdapat individu yang menyabarkan perbandingan jenis-jenis vaksin yang diberikan di
PPV sehingga mendatangkan kekeliruan bakal penerima vaksin. Ada juga yang
menghujahkan bahawa penerima sesetengah jenis vaksin dilarang memasuki negara-
negara tertentu menyebabkan vaksin ini ditolak untuk diberikan kepada mereka.

Langkah-langkah proaktif perlu diambil untuk memastikan kadar kehadiran janji temu
vaksin menghampiri 100%. Peringatan demi peringatan untuk menyemak MySejahtera
secara kerap perlu diberikan melalui pelbagai platform media termasuk di media
televisyen, akhbar, portal berita atas talian, SMS dan media sosial. Anak-anak perlu
membantu menyemak tarikh janji temu ibu bapa. Badan-badan NGO, wakil rakyat dan
klinik kesihatan perlu mempunyai mekanisma yang sesuai untuk memaklumkan tarikh
janji temu kepada mereka yang didaftarkan.

Lokasi PPV perlulah berdekatan dengan tempat tinggal penerima. Dengan
penambahan banyak PPV, diharapkan dapat menyelesaikan masalah ini. Khidmat
pengangkutan percuma secara berkala boleh ditawarkan untuk membawa penerima ke
PPV. Terdapat juga syarikat persendirian yang menawarkan khidmat membawa dan
meneman warga emas ke PPV. Usaha ini patut diiktiraf dan servis perlu disebarluaskan
untuk manfaat rakyat.

Klinik kesihatan dan wakil penduduk mengambil tahu keadaan kesihatan penduduk
setempat. Bagi yang terlantar, pemberian vaksin boleh dilakukan di rumah oleh PPV
bergerak. Promosi tentang jenis-jenis vaksin dan kebaikan vaksin perlu diteruskan. Perlu juga diingatkan bahawa bakal penerima vaksin tidak seharusnya membuat keputusan sendiri tentang pemilihan vaksin. Mereka patut hadir ke PPV dan berbincang dengan doktor bertugas.

Kebiasaannya, mereka yang pada mulanya ingin memilih vaksin berbeza menukar fikiran setelah mendapat penjelasan doktor. Peranan ahli keluarga, anggota masyarakat, NGO, pemimpin masyarakat, pengamal media dan kerajaan adalah perlu untuk meningkatkan jumlah yang hadir janji temu di PPV. Selain daripada menyebarkan maklumat yang tepat tentang vaksin, peringatan supaya menyemak dan mengemaskini aplikasi MySejahtera adalah penting supaya kerajaan dan PPV dapat merancang aktiviti pemberian vaksin dengan teratur dan berkesan.

OLEH: Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani (Pakar Perubatan Kesihatan Awam) &
Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed (Pakar Mikrobiologi Klinikal)
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia