KUALA LUMPUR – Walaupun diri sendiri sedang berdepan dengan kerugian berjuta-juta ringgit berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat hartanah JL99 tetap tampil membantu golongan terjejas.

Dengan menggunakan konsep ‘pandu lalu’, JL99 telah memperuntukkan bekalan asas bernilai lebih RM200 serta wang tunai sebanyak RM100 bagi setiap penduduk tinggal berhampiran radius 3kilometer dari dari Galeri Jualan Residensi 99 di Taman Wahyu, Kepong.

Ketika MalaysiaGazette bercakap dengan Pengerusi JL99 yang juga pencetus kepada idea ‘drive thru’ ini, Datuk Jeff Lee dengan hampir mata berlinang bercerita, dia terpanggil untuk membantu masyarakat setempat pada masa ini apabila melihat keadaan semakin sukar.

“Memang ini adalah salah satu daripada inisiatif kita jalankan program tanggungjawab sosial korporat JL99 seperti yang sebelum-sebelum ini juga tetapi kali ini kita agak ‘all out’ juga turun padang.

“Sebenarnya semakin lama penderitaan rakyat semakin jelas malah untuk sesuap nasi juga amat sukar untuk segelintir golongan. Keadaan mereka sangat teruk dan ini juga menyebabkan rata-rata mereka tertekan saban hari.

“Sungguh menakutkan untuk lihat sendiri bagaimana ramai yang ikat perut, ada yang hilang punca pendapatan sehingga anak-anak kecil terpaksa berlapar, ada juga yang minum air alas perut, macam-macam sehingga ada kalanya saya sendiri menangis.

“Saya sendiri datang dari sebuah keluarga adik beradik 11 orang yang duduk berhimpit dalam satu rumah dengan makanan sentiasa tidak cukup sehingga kami terpaksa makan sardin hari-hari dengan telur dua biji dikongsi dengan semua.

“Oleh kerana saya faham sentimen itu dan kini saya melihat kembali situasi seperti itu, saya menjadi emosi dan mahu berterusan membantu apa yang boleh, apa yang mampu.

“Jika anda tahu, syarikat hartanah juga sedang berdepan dengan cabaran pandemik lagi-lagi apabila kerja-kerja pembinaan juga terhenti, rumah-rumah tidak dapat disiapkan dan banyak lagi. Sememangnya tempias itu cukup besar lagi-lagi apabila tanggungan kami cecah juta setiap bulan.

“Tetapi pada masa sama kita tidak dapat pula berdiam diri melihat penderitaan orang lain yang jauh lebih derita dan susah, kerana itu saya pergunakan sehabis baik galeri jualan kami dengan menyimpan stok makanan bekalan asas dan edarkan kepada yang memerlukan,” katanya mulakan bicara.

Jeff berkata, berikutan angka positif Covid-19 seperti tidak ada surutnya, beliau juga memastikan inisiatif yang dilakukan olehnya itu tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan menggunakan kaedah pandu lalu.

“Pandu lalu ini jauh lebih senang, selain jaga kesihatan kita di JL99 kita juga menjamin keselamatan penerima kita, kaedah ini sememangnya lebih baik dari segi pematuhan SOP.

“Penerima bantuan ini juga akan melalui proses dimana kita akan terlebih dahulu temuramah mereka dan memastikan rumah mereka hanya tidak lebih daripada 3km radius dari galeri kita.

“Kita sudah mulakan bantuan bakul makanan pandu lalu sejak Ahad lepas dan berharap akan dapat menyalurkan bantuan ini kepada sekurang-kurangnya 1,000 penerima berkelayakan.

“Bantuan yang kita berikan ini pula mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak, tepung, sardin, telur dan pelitup muka bernilai RM200 serta wang RM100. Sumbangan ini pula boleh bertahan sekurang-kurangnya sebulan untuk seisi keluarga.

“Kita juga meminta kebenaran daripada para penerima untuk kita ambil gambar mereka bukan untuk menunjuk-menunjuk sebaliknya untuk pastikan mereka telah mendapat bantuan dan sumbangan lain boleh diberikan kepada yang belum terima lagi,” ujarnya.

JL99 telah membelanjakan kira-kira RM300,000 untuk membantu golongan terkesan melalui bantuan bekalan asas untuk kali ini dan berharap dapat menyumbang dengan lebih banyak lagi pada masa depan.

Katanya, buat masa ini, syarikat mampu memberi sumbangan sebanyak ini sahaja dengan peruntukan RM300,000 dan mungkin selepas pembukaan sektor kita akan peruntukan lebih banyak dana hasil keuntungan syarikat.

JL99 juga  menyumbang peralatan perubatan bernilai RM230,000 kepada Hospital Selayang ketika awal negara sedang bergelut dengan Covid-19 tahun lalu.

Dalam pada itu, Jeff  berkata, beliau sedaya upaya tidak membuang pekerja beliau sebaliknya tetap menjaga kebajikan mereka.

“Tetapi pada masa kali ini tempias pelaksanaan PKP Covid-19 ini cukup berat maka sememangnya kita ada mengurangkan gaji mereka ikut peratus, adalah tidak adil juga jika saya bayar gaji tetapi semua tidak ada kerja.

“Sehingga vaksinasi semua pekerja JL99 tidak dibenarkan hadir bekerja atau bantu inisiatif kita, kita patuh kepada semua SOP dan undang-undang kerana mahu penularan Covid-19 ini segera tamat dan kita semua boleh melalui kehidupan biasa kita.

“Saya cuma ingin pohon kepada yang berkemampuan, sumbang dan bersedekah sebanyak mana yang anda mampu, kita dapat melakukan sesuatu yang besar jika kita bersama-sama melakukannya.

“Makin ringan bebanan yang ditanggung,” ujarnya. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.