Anggota Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam melakukan pemeriksaan keatas pekerja kilang dalam satu operasi serbuan Op Patuh di sebuah kilang plastik yang dipercayai melanggar arahan MITI dan membuat pengistiharan palsu sebagai perkhidmatan perlu ketika di sekitar Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor tidak mempunyai kuasa menutup kilang dalam membendung penularan Covid-19 kerana kuasa tersebut di bawah Kerajaan Persekutuan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata, Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) tidak menerangkan tindakan PBT bagi arahan menutup kilang.

Akta tersebut, katanya, menyatakan tiap-tiap lesen atau permit yang diberi tertakluk kepada apa-apa syarat dan sekatan yang difikirkan patut oleh pihak berkuasa tempatan dan boleh dibatalkan oleh pihak berkuasa tempatan pada bila-bila masa tanpa memberi apa-apa sebab.

Walaupun seksyen yang dirujuk seakan-akan memberi kuasa mutlak kepada PBT untuk membatalkan lesen, tindakan pembatalan harus dilakukan mengikut syarat serta parameter yang tertera di dalam lesen pada waktu ianya dikeluarkan dan bukannya bersifat arbitrari, dilakukan secara sewenang-wenangnya atau tanpa asas.

Malah seksyen ini juga tidak menjelaskan berhubung tindakan PBT untuk mengarahkan penutupan kilang, kata Sze Han dalam kenyataan di sini.

Ng berkata, penentuan Tatacara Pengendalian atau prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi serta dikuatkuasakan melalui Akta 342 sejak 18 Mac tahun lepas.

Katanya, ini termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di hampir seluruh Selangor.

Tambah beliau, sejak 18 Mac 2020, penentuan tatacara pengendalian piawai (SOP) yang dipatuhi dikuatkuasakan melalui Akta 342 termasuk Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang dilaksanakan di hampir seluruh Negeri Selangor.

“Akta 342 memberi kuasa kepada Menteri Persekutuan melalui Seksyen 3(1) untuk melantik Pegawai Kesihatan ataupun mana-mana pegawai lain bagi tujuan menguatkuasakan usaha mengawal penularan wabak Covid-19,”ujarnya.

Beliau berkata, ketika PKP 3.0 dilaksanakan, pegawai-pegawai yang diberi amanah menguatkuasakan peruntukan Akta 342 melalui Seksyen 3(1) adalah Pegawai Polis DiRaja Malaysia dan RELA.

“Bidang kuasa tersebut meliputi penentuan sektor sosial yang dibenarkan, kawalan pergerakan termasuk pergerakan merentas daerah atau negeri, sektor ekonomi dan premis yang boleh beroperasi atau diarahkan tutup, serta proses penentuan kesalahan dan penalti terhadap syarikat atau individu didapati ingkar syarat yang ditetapkan.

“Pada 3 Mac 2021, Menteri Kesihatan dan Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri telah meminda Seksyen 2(1) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021 dan memperluaskan pegawai yang terlibat merangkumi Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan agar dapat turut bersama menjalankan penguatkuasaan ke atas Tatacara Pengendalian Piawai (SOP),” katanya.

Dalam pada itu, Sze Han berkata, perlu diingatkan pindaan di atas bukan bermaksud PBT mempunyai kuasa untuk menutup kilang sebaliknya ia dibuat bagi membolehkan Pegawai Kesihatan Persekitaran di PBT membantu menguatkuasakan SOP dan arahan Kerajaan Persekutuan.

“Kuasa tersebut masih di bawah Kerajaan Persekutuan. Setakat ini salah satu usaha penutupan kilang dan pematuhan SOP dilaksanakan di bawah Op Patuh.

“Operasi tersebut telah dilaksanakan oleh suatu Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP PKP COVID-19 (JKPS) yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDNo yang mana PBT Selangor hanyalah salah satu anggota jawatankuasa,” ujar beliau.

Tambahnya, berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia, setakat 12 Julai lalu, sejumlah 39,604 pemeriksaan telah dijalankan dalam Op Patuh di Selangor dengan 768 kompaun dikeluarkan dan sebanyak 214 premis termasuk kilang telah diarah tutup.

“Proses pemeriksaan ini akan terus berlaku demi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal sehingga kes menurun agar sistem kesihatan negara tidak terbeban dengan jumlah pesakit yang mendadak.”ujarnya.

Kesimpulannya, PBT di Selangor menjalankan tugas dan tanggungjawab mengikut parameter undang-undang serta doktrin ‘rule of law’ dan ‘fair and equitable treatment’ melalui peruntukan Akta 342 Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Tegas beliau, perkara berkait dengan operasi sektor pengilangan dan pembuatan termasuklah semua peraturan membabitkan premis operasi bagi tujuan pengawalan Covid 19 adalah tertakluk kepada Akta 342 dan apa-apa arahan serta Tatacara Pengendalian Piawai PKP/PKPB/PKPD ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Oleh yang demikian, bagi maksud Akta 342, PBT tidak mempunyai bidang kuasa sama ada membatalkan, menamatkan atau menarik balik lesen atau kebenaran secara sewenang-wenangnya terhadap mana-mana kilang di Selangor,” jelasnya. – MalaysiaGazette