Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Skop siasatan Suruhanjaya Diraja perlu mengambil kira Pelan Pemulihan Tabung Haji yang telah dimulakan pada zaman kerajaan Pakatan Harapan.

Itu pandangan Pergerakan Pemuda UMNO yang mahu beberapa penambahbaikan dibuat terhadap skop RCI bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji yang dipersetujui untuk ditubuhkan oleh Kabinet hari ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan penambahbaikan dan pindaan itu bagi memastikan matlamat RCI untuk menjaga kemurnian institusi Islam tercapai.

Mengulas lanjut, katanya, cadangan supaya Pelan Pemulihan Tabung Haji turut dimasukkan dalam skop siasatan kerana kelemahannya telah ditegur oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Tahunan TH 2019.

“Namun sehingga sekarang tidak kelihatan apa-apa penambahbaikan ke atas teguran tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Dr Asyraf, siasatan RCI akan juga merangkumi keabsahan jaminan ke atas hutang RM27.56 bilion UJSB kepada TH.

Ini kerana walaupun PH berulang kali mengatakan bahawa hutang (sukuk) tersebut dijamin kerajaan, tetapi hakikatnya ia tidak pernah dibentang di Parlimen atau mematuhi Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965

Faktor ketiga, katanya, RCI juga perlu menelusuri kemampuan UJSB yang perlu membayar RM27.56 bilion kepada TH sebelum tahun 2027.

Ini kerana berdasarkan jawapan Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah di Dewan Rakyat pada tahun lepas, UJSB hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM234 juta bagi tahun 2019.

“Siasatan ke atas kemampuan UJSB ini akan membolehkan Suruhanjaya Diraja membuat cadangan-cadangan bagi memastikan amaun hutang dapat dibayar mengikut masanya dan sekaligus memelihara kepentingan institusi Islam dan para pendeposit,” katanya.

Artikel berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Asyraf berkata, siasatan ke atas pelan itu juga akan membolehkan Suruhanjaya dapat menyiasat dengan tuntas kemampuan sebenar kewangan TH pada hari ini.

Ini kerana berdasarkan Laporan Tahunan TH 2019, keuntungan nyata (hasil perniagaan normal) TH hanyalah RM210 juta. Sementara baki RM1.39 bilion lagi adalah keuntungan tidak nyata yang mana sebahagian besarnya datang daripada sukuk UJSB tersebut.

Katanya, keuntungan tidak nyata itu adalah duit yang belum pun memasuki akaun TH lagi.

Seterusnya, beliau berkata, siasatan ke atas Pelan Pemulihan TH akan membolehkan Suruhanjaya memberikan cadangan-cadangan penambahbaikan.

“Terutama jika kita melihat dokumen rasmi yang menyatakan dengan jelas bahawa sukuk tersebut tiada penarafan, tidak boleh diniagakan, tidak boleh dipindahmilik serta unsecured zero coupon (berisiko tinggi),” katanya.

Menurut Dr Asyraf, Pemuda yang mengalu-alukan penubuhan RCI itu amat berharap agar cadangan pindaan skop itu dipenuhi oleh kerajaan semasa.

”Kami percaya bahawa siasatan ini perlulah menyeluruh bagi memastikan tujuan murni penubuhan RCI untuk memelihara kemurnian institusi TH ini akan tercapai,” katanya. – MalaysiaGazette