Ayob Khan Mydin Pitchay

KUALA LUMPUR – Lelaki warga Rohingya yang dikenali dengan nama Long Tiger telah ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kes mengurung bekas pekerjanya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek ditahan menerusi satu serbuan yang dibuat di kediamannya di Muar, Isnin lalu.

Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 35, ditahan oleh pasukan Jababatan Siasatan Jenayah IPK Johor sekitar pukul 9.45 malam di rumahnya.

“Polis telah mendapat mendapat maklumat suspek terlibat dalam kes mengurung seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun yang juga bekas pekerjanya sebelum menyerbu rumahnya dan diberkas.

“Suspek kini sedang direman empat hari bermula 13 Julai lalu untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan memberitahu, Long Tiger mempunyai banyak rekod kesalahan jenayah lampau bersabit kes peras ugut, culik, jenayah dan rogol namun suspek telah pun selesai menjalani hukumannya.

‘Kita masih menyiasat apakah motif kejadian tersebut dengan mengendalikan soal siasat ke atas suspek,” ujarnya.-MalaysiaGazette