Marcus Rashford

LONDON – Penyerang Manchester United, Marcus Rashford memutuskan bakal berehat sehingga tiga bulan daripada beraksi di padang kerana bakal menjalani pembedahan bahu.

Rashford, 23, membuat keputusan itu selepas melakukan imbasan semalam.

Dia membuat keputusan itu bagi menangani masalah yang mengganggunya sejak akhir musim lalu dan pembedahan itu akan dilakukan akhir bulan ini.

Rashford beraksi lima kali untuk England di Euro 2020 dan gagal menyempurnakan sepakan ketika tewas penentuan penalti di tangan Itali pada final.

Semalam, ratusan penunjuk perasaan anti-perkauman berkumpul di mural Rashford di Manchester yang diconteng selepas pemain itu dihina di media sosial.

Rakan sepasukan berkulit hitam Jadon Sancho dan Bukayo Saka juga gagal menyempurnakan sepakan penalti turut menjadi mangsa penghinaan perkauman.

Sebelum ini, Rashford dianggap wira England susulan kejayaannya melobi Perdana Menteri Britain Boris Johnson untuk memberikan makanan percuma kepada kanak-kanak sekolah yang susah ketika pandemik.

United memulakan persiapan pra-musim di Derby Ahad ini sebelum memulakan kempen Liga Perdana Inggeris di Old Trafford menentang Leeds pada 14 Ogos. – MalaysiaGazette