RoS Registrar of Society Parti Pejuang Tanahair Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto AFIQ HAMBALI.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui rasa ditekan untuk memberikan tiga nama individu yang boleh menjawat jawatan perdana menteri pada masa depan.

Dalam keadaan serba-salah, katanya, beliau terus menamakan Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon perdana menteri.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau menamakan Mukhriz selepas ditanya nama calon perdana menteri yang lain, selain Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya tidak mahu beri nama sesiapa pun tetapi bila ditanya dan ditekan juga untuk beri nama, saya kata ada orang yang fikir oleh kerana saya baik dengan Azmin Ali maka Azmin calon saya, dia bukan calon saya.

“Cumanya saya sebut ini pendapat orang, oleh itu Azmin adalah layak jadi perdana menteri, masih ditanya lagi siapa, hendak tiga nama.

“Saya berada dalam keadaan serba salah dan saya terpaksa sebutkan antara mereka adalah Mukhriz tapi ini terpulang kepada mereka,” katanya dalam sidang media maya Pejuang, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Mukhriz, Timbalannya Datuk Marzuki Yahya dan Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah.

Semalam, dalam program What’s Going On Malaysia? With Harith Iskandar secara langsung di Youtube, Mahathir menamakan Mohamed Azmin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berpotensi menjadi perdana menteri pada masa akan datang.

Mahathir menegaskan beliau tidak percaya dengan memilih hanya seorang kerana calon-calon itu perlu bersaing untuk mendapat jawatan nombor satu dalam kerajaan. – MalaysiaGazette

Tun M jangka Azmin, Mukhriz bakal PM masa depan