Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hairan mengapa Pelan Penstrukturan Semula Tabung Haji (TH) tidak termasuk dalam terma rujukan Suruhan Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan untuk menyiasat beberapa isu berbangkit mengenai TH.

Katanya, ini kerana pelan tersebut dirangka berpandukan kepada rumusan dapatan dari firma audit profesional.

Beliau yang juga Naib Presiden Amanah berkata, RCI Tabung Haji perlu telus dan profesional tanpa agenda politik di sebaliknya.

Malah, katanya, jika dipanggil memberi keterangan, beliau bersedia mendedahkan langkah dan tindakan yang telah diambil oleh Pakatan Harapan ketika menjadi kerajaan untuk menyelamatkan TH termasuk laporan polis yang dibuat ke atas individu terlibat dalam penyelewengan dana TH.

“Setelah 17 bulan PN berkuasa dan isu RCI Tabung Haji disensasikan, akhirnya TPM dari UMNO menyatakan bahawa Kabinet setuju untuk menubuhkan RCI atau Suruhanjaya Di Raja tentang Tabung Haji. Syabas dan tahniah!” Katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, sepanjang tempoh 22 bulan diberikan amanah menjaga TH di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), beliau dan pasukan TH telah bertindak berpandukan atas laporan firma audit profesional untuk menjayakan pelan penstrukturan semula di mana TH berada dalam keadaan tenat dari sudut kewangannya dan integritinya.

Artikel berkaitan:

Katanya, dua perkara asas yang beliau lakukan segera iaitu memastikan pengeluaran hibah (dividen) hendaklah mematuhi Akta TH (1995) yang telah dilanggar sejak 2014.

“Kedua ialah menutup jurang defisit antara aset dan liabiliti yang mengikut laporan audit 2017 adalah sebanyak RM4 bilion,” katanya.

Beliau berkata, Pelan Penstrukturan Semula TH diperkenalkan secara telus dan mendapat kelulusan Kabinet serta dijelaskan di dalam Parlimen secara terbuka.

Mujahid mendakwa isu TH kembali hangat apabila Perikatan Nasional berkuasa dan isu ‘jual aset orang Islam’ terus disensasikan walaupun kejayaan pelan penstrukturan TH diperakui oleh kerajaan hari ini.

“Saya telah menjelaskan fakta dan angka dalam Debat Berani Semuka dengan mantan Pengerusi TH yang juga MP Baling terhadap fitnah liar yang ditujukan kepada TH semasa saya melaksanakan pelan penstrukturan semula.

“Debat anjuran Sinar itu disaksikan hampir sejuta orang secara live di talian,” katanya.

Semalam Kabinet bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119] bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH) hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.

Antara terma RCI yang telah dipersetujui adalah skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit LTH dari tahun 2014 hingga tahun 2020 tetapi tidak termasuk pelan pemulihan dan penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mampus la ko mujahid. Masa ada jawatan bukan main cakap besar. Sekarang ni kita tunggu dan lihat siapa perompak dan penyamun sebenar.

Comments are closed.