PDRM logo police lockup death Benedict Thanilas
Gambar hiasan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan bahawa siasatan sedang dijalankan berkenaan penularan klip video bertajuk “Malaysian Doctors on Strike/Mogok? 1st – 12th July 2021 Black Code” oleh Dr. Han atau Gigi Han yang memberi penjelasan tentang situasi permasalahan doktor-doktor kontrak dan kesannya kepada sistem kesihatan negara.

Menurut pihak PDRM, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Media 1998.

Adakah tindakan PDRM tersebut wajar?

Ringkasnya, menurut Seksyen 505 (5) Kanun Keseksaan, seseorang itu adalah melakukan suatu kesalahan sekiranya membuat, menerbitkan atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin atau berita dengan niat untuk mengapikan mana-mana golongan atau kaum bagi melakukan kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

Dalam hal ini, seseorang itu jika didapati bersalah boleh dihukum dengan pemenjaraan yang boleh sampai dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Namun begitu, jika diteliti peruntukan ini, terdapat kecualian iaitu seseorang itu adalah tidak bersalah jika orang yang berbuat tindakan tersebut mempercayai bahawa kenyataan, khabar angin atau berita itu adalah betul, dan orang itu membuat, menerbitkan atau mengedarkannya dengan tiada apa-apa niat untuk mengapi-apikan golongan yang dimaksudkan tersebut.

Manakala, secara ringkasnya, menurut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seseorang yang menggunakan apa-apa kemudahan atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar adalah melakukan suatu kesalahan yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Selanjutnya, seseorang itu juga boleh didenda lanjut RM1,000 bagi setiap hari kesalahan jika ia diteruskan selepas sabitan oleh mahkamah.

Secara peribadi, saya berpendapat bahawa tindakan ini PDRM memang bersifat sah menurut lunas undang-undang. Tambahan pula, menurut Pengarah Jabatan Siasatan Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, tindakan ini adalah diambil selepas satu laporan polis diterima oleh pihaknya.

Namun begitu, saya juga melihat bahawa tindakan ini adalah bukan suatu keperluan dan tidak wajar.

Menurut penelitian saya terhadap video yang berdurasi 6 minit 49 saat tersebut, ia hanya menjelaskan tentang situasi yang berlaku dalam kalangan doktor kontrak dan kesannya pada masa akan datang sekiranya isu ini tidak diselia dengan baik oleh pihak kerajaan.

Memang terdapat satu bahagian iaitu Dr. Han menyeru supaya individu yang ingin mengambil bahagian dalam kempen tersebut menukar gambar profil media sosial dengan warna hitam atau monokrom mulai 1 Julai hingga 12 Julai lalu. Dr. Han juga ada menyeru supaya tanda pagar #SaveMYcontractHCW #CodeBlackMY dan #BlackMondayMY digunakan pada 12 Julai 2021.

Persoalannya, apakah tindakan Dr. Han itu adalah sesuatu yang berbahaya sehingga boleh dianggap mengapi-apikan doktor untuk melakukan sebarang kesalahan sedangkan doktor kontrak secara realitinya memang berdepan dengan beberapa kekurangan dan permasalahan?

Walaupun demokrasi dan hak bersuara di Malaysia adalah terbatas dan terhad, saya melihat bahawa video tersebut hanya bersifat penerangan serta galakan untuk meneruskan kempen supaya nasib doktor-doktor kontrak ini terbela. Ia adalah suatu bentuk ekspresi munasabah yang pada hakikatnya tidak keterlaluan.

Dalam kes ini, PDRM masih di peringkat siasatan dan itu adalah hak pihak berkuasa untuk menjalankan tugasnya. Kertas siasatan tersebut kelak akan dibawa ke Jabatan Peguam Negara dan diharap dapat dinilai dengan sewajarnya.

Akhir sekali, seperti yang pernah saya nyatakan sebelum ini, isu berkenaan doktor kontrak ini bukan suatu isu remeh dan boleh “dibakulsampahkan”. Tetapi, ia adalah satu isu nasional yang bukan sahaja berkisar tentang masa depan dan apresiasi bakat doktor-doktor muda, malah ia adalah tentang masa depan dan hak rakyat Malaysia untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang unggul. Semoga pihak kerajaan dapat menilai serta mempertimbangkan tuntutan para doktor secara adil dan saksama.

Khairul Naim Rafidi

Penulis merupakan peguambela dan peguamcara yang beramal di Messrs Khairul Naim Rafidi dan menetap di Port Klang. Penulis boleh dihubungi melalui laman facebook Khairul Naim Rafidi atau Messrs Khairul Naim Rafidi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast