Seorang petugas kesihatan sedang memegang kotak yang mengandungi vaksin Sinopharm. foto Bloomberg

KUALA LUMPUR – Vaksin Sinopharm dan Johnson & Johnson diluluskan untuk digunakan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kelulusan itu diputuskan oleh Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang bersidang pada hari ini.

Sinopharm dibangunkan oleh China National Biotec Group Company Limited (CNBG) manakala Johnson & Johnson pula dikeluarkan Janssen Pharmaceutica N.V., Belgium.

Menurut beliau, kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif.

”KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

”Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya dalam kenyataan di sini.

Dengan kelulusan itu, jumlah penggunaan vaksin di negara ini bertambah berbanding vaksin Covid-19 mRNA keluaran Pfizer-BioNtech Astra Zeneca dan Sinovac. – MalaysiaGazette