Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun

KUALA LUMPUR – Peguam Negara perlu dipecat atau beliau sendiri meletakkan jawatan secara terhormat kerana dilihat tidak lagi mampu menjalankan tugas rasminya secara profesional dan berkecuali (neutral) dalam menegakkan undang-undang, termasuk dalam isu memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Majlis Presiden Pakatan Harapan mengambil maklum laporan media yang mengajukan pandangan bahawa YDPA perlu menerima nasihat guaman sendiri melalui badan seperti Majlis Privi (Privy Council).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Majlis Presiden berkata, isu ini timbul susulan siri kenyataan umum Peguam Negara, termasuk yang terkini berkaitan isu penzahiran sokongan terhadap Perdana Menteri serta kenyataan 25 Jun lalu berhubung kuasa-kuasa YDPA dan nasihat Jemaah Menteri yang telah melampaui batas adab kerana memperkecil dan memperlekehkan titah pandangan Raja-Raja Melayu.

Kenyataan itu daripada Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

”Walaupun Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara perkara undang-undang…”, namun timbul tanda tanya apakah Peguam Negara kini boleh menjalankan fungsi tersebut secara tidak berat sebelah (impartial).

”Apatah lagi apabila kita diingatkan bahawa terdapat kes-kes profil tinggi tertentu seperti Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 Mei namun sehingga hari ini tiada arahan pendakwaan daripada Peguam Negara.

“Ini memang luarbiasa apabila seseorang itu ditahan lebih sebulan yang lalu namun masih belum didakwa dan semestinya menimbulkan tanda tanya samada wujud motivasi lain dengan melengahkan pendakwaan di mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette