Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kadar kematian ekoran Covid-19 mencatatkan rekod tertinggi hari ini dengan 138 kes dilaporkan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebanyak 128 daripadanya melibatkan orang tempatan dan baki 10 lagi bukan warganegara.

Sebanyak 138 kes kematian yang dilaporkan hari ini melibatkan 46 kes di Selangor, 20 kes di Negeri Sembilan, masing-masing 16 kes di Kuala Lumpur dan 12 di Johor.

Sementara 12 kes di Pahang, 11 kes di Melaka, tujuh kes di Kedah, empat kes di Perak, tiga kes di Pulau Pinang, dua kes di Terengganu dan satu kes di Sabah, katanya dalam kenyataan hari ini.

Kali terakhir kes kematian tertinggi direkodkan pada 8 Julai lalu dengan 135 kes.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, kes aktif kebolehjangkitan kini melepasi 100,000 kes iaitu 119,814 kes.

Dalam pada itu, sebanyak 908 kes dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 425 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dr. Noor Hisham berkata, bermula 1 Jun lalu, sejumlah 17,106 kes positif  dikesan melibatkan kluster komuniti ekoran musim perayaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 105 kes kematian telah direkodkan sehingga hari ini manakala 42 kes sedang mendapatkan rawatan di ICU.

“Kluster-kluster komuniti ini tercetus susulan sambutan majlis perayaan yang lalu (Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai), aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan kejiranan atau kampung, perjumpaan antara ahli keluarga dari rumah-rumah yang berlainan serta majlis pengebumian,” jelasnya.

Dr. Noor Hisham juga bimbang dengan 21 kluster rentas negeri yang berlalu dari 1 Jun sehingga 16 Julai lalu.

Sejumlah 1,010 kes direkodkan daripada kluster-kluster, katanya.

Kluster-kluster berkenaan melibatkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis pengebumian serta atas urusan kerja.

Negeri-negeri yang melaporkan jumlah kluster rentas negeri tertinggi sejak 1 Jun 2021 adalah Perak dengan lapan kluster (38.1 peratus), Terengganu dengan lima kluster (23.8 peratus) serta Kelantan dengan tiga kluster (14.3 peratus).

Justeru itu, bagi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Noor Hisham menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti rentas negeri atau daerah.

“KKM ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru masyarakat supaya mengambil iktibar dan tidak mengulangi sikap tidak bertanggungjawab, khususnya semasa sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan diraikan pada 20 Julai ini,” ujarnya.

Sejumlah 28 kluster direkodkan KKM hari ini merangkumi 19 Kluster Tempat Kerja, enam Kluster Komuniti, dua Kluster Kumpulan Berisiko Tinggi dan satu Kluster Pendidikan Lain. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Covid-19: 12,528 kes harian, jumlah keseluruhan kini 905,501