KUALA LUMPUR – Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) iaitu pembekal vaksin Covid-19 jenis Sinovac menafikan bekalan vaksin itu akan dihentikan atau ditamatkan.

Pharmaniaga dalam satu kenyataan berkata, kontrak pembekalannya kepada Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak 12 juta dos vaksin  Sinovac secara Fill & Finish.

Jelas syarikat itu, Pharmaniaga harus membekalkan vaksin tersebut dalam tempoh tujuh bulan iaitu di antara Mei lalu sehingga November 2021.

Jelas syarikat itu, apabila kes jangkitan Covid-19 naik secara mendadak dari Mac lalu, Pharmaniaga telah membuat langkah proaktif untuk memenuhi keperluan negara dengan menyegerakan pembekalan vaksin Sinovac dengan membuat
pemesanan vaksin import siap untuk diagihkan seiringan dengan agihan vaksin jenis Fill & Finish.

“Dengan usaha tersebut, Pharmaniaga telah berjaya membekalkan sebanyak 12 juta dos dan kelompok dos terakhir akan dibekalkan pada 21 Julai 2021 iaitu 4.5 bulan lebih awal daripada jadual kontrak asal.

“Pembekalan 12 juta dos ini melibatkan enam juta dos bagi suntikan pertama dan enam juta dos bagi suntikan kedua. Memandangkan jumlah suntikan dos pertama di kesemua
negeri sudah hampir mencecah enam juta, arahan telah diberikan untuk memberhentikan pemberian dos pertama dan menumpukan kepada pemberian dos kedua.

“Ianya bagi mengelakkan kes tiada stok untuk dos kedua sekiranya dos pertama diberi lebih daripada enam juta dos,” katanya kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan media dan mendapati terdapat kekeliruan mengenai kenyataan serta tajuk berita mengenai bekalan vaksin Sinovac akan dihentikan atau ditamatkan di mana ia tidak benar.

Pharmaniaga turut mengucapkan ribuan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan dan merasa bangga sebagai syarikat pertama yang telah berjaya membekalkan kesemua keperluan  jauh lebih awal daripada jadual kontrak bagi membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Jelas syarikat itu, pihak juga bersedia membuat pembekalan tambahan sekiranya kerajaan berhasrat untuk meneruskan penggunaan vaksin Sinovac dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Pihak syarikat telah membuat tawaran penambahan bekalan sebanyak dua juta dos kepada Kerajaan Persekutuan dan sedang menunggu keputusan rasmi mengenainya.

“Sementara itu, Pharmaniaga akan meneruskan pembekalan vaksin Covid-19 Sinovac kepada kerajaan-kerajaan negeri, agensi kerajaan dan pihak swasta yangctelah lama menunggu bekalan bagi membantu mempercepatkan program vaksinasi
selari dengan PICK,” katanya.

Pharmaniaga adalah sebuah syarikat farmaseutikal terkemuka milik kumpulan syarikat Boustead Holdings Berhad, dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera yangkedua-duanya merupakan pemegang saham utama Syarikat. – MalaysiaGazette