Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) memberi jaminan tidak ada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan oleh Pakatan Harapan (PH) pada persidangan khas Parlimen 26 Julai ini.

Justeru, dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghentikan pencabulan institusi demokrasi negara berikutan tidak membenarkan sesi perbahasan sepanjang sidang empat hari itu.

Kata beliau, tindakan kerajaan itu jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita beri amaran keras kepada kerajaan PH. Hentikan pencabulan institusi demokrasi. Tindakan ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Berikan peluang kami berbahas. Saya beri jaminan tidak ada usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana kita mahu tumpukan kepada permasalahan rakyat berikutan krisis Covid-19 dan kemelesatan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama yang turut ditandatangani Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut Anwar yang juga Presiden PKR, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada 17 Jun lalu telah menzahirkan titah pandangan baginda bahawa sidang Parlimen perlu diadakan segera supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat membahaskan Ordinan-ordinan Darurat, Pelan Pemulihan Negara dan perbelanjaan berkaitan pandemik COVID-19.

Kata beliau, YDPA juga telah menitahkan pandangan yang sama pada 24 Februari dan 29 Jun lalu.

“Titah pandangan Seri Paduka Baginda senada dengan aspirasi rakyat yang mahu pengakhiran kemelut wabak pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi dihadapi negara ketika ini.

“Demi menjunjung titah pandangan Tuanku ini, saya selaku Ketua Pembangkang telah menghantar usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 12 Julai lalu untuk membahaskan perkara yang digesa Tuanku.

“Malangnya, kenyataan media Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 15 Julai menyatakan persidangan Dewan Rakyat 26 Julai hingga 2 Ogos ini hanyalah satu persidangan khas bagi mendengar penerangan atau ceramah Menteri-Menteri tanpa sebarang perbahasan oleh Ahli-ahli Parlimen,” ujar beliau.

Oleh itu, tegas beliau, PH mendesak Yang Dipertua Dewan Rakyat dan kerajaan PN agar tidak derhaka terhadap titah pandangan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, mereka sepatutnya membuka ruang perbahasan serta diputuskan bagi membolehkan Parlimen berfungsi semula secara normal dan Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh menunaikan tanggungjawab mereka membela hak rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast