Suspek yang merupakan ibu kandung dua kanak-kanak yang didera tiba di mahkamah untuk mendapatkan tempoh reman bagi membantu siasatan di Mahkamah Majistret Selayang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Selayang hari ini membenarkan seorang wanita bersama teman lelakinya direman selama enam hari bagi membantu siasatan polis terhadap kes dera membabitkan dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun.

Turut direman seorang suspek lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai penjaga kanak-kanak itu.

Wanita berusia 22 tahun itu yang merupakan ibu kandung kanak-kanak terbabit dibawa ke mahkamah pada jam 10.10 pagi.

Ketiga-tiga suspek dibawa dengan tangan bergari dan berpakaian lokap berwarna oren dan dikawal anggota polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita, teman lelaki ditahan kes penganiayaan dua kanak-kanak 

Permohonana reman itu dikemukakan Pegawai Penyiasat, Inspektor Kalpana di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan.

Nik Mohd Fadli membenarkan ketiga-tiga suspek direman selama enam hari bermula hari ini 23 Julai ini untuk membantu siasatan polis.

Ketiga-tiga suspek meninggalkan mahkamah pada jam 11.30 pagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam kenyataan polis Gombak semalam, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, siasatan yang dijalankan polis mendapati kedua–dua mangsa tinggal bersama ibu kandung dan teman lelaki ibunya di sebuah rumah sewa di sebuah flat di Taman Samudera, Batu Caves.

“Pemeriksaan fizikal kedua-dua mangsa mendapati terdapat beberapa kesan calar dan lebam di bahagian kedua–dua belah tangan, kaki, pipi dan dagu dan telah dihantar untuk pemeriksaan doktor di Hospital Selayang.

“Berikutan aduan yang diterima, polis telah melakukan tangkapan ke atas seorang perempuan tempatan iaitu ibu kandung berusia 22 tahun dan juga bersama teman lelakinya berusia 22 tahun serta penjaga mangsa berusia 35 tahun sekitar jam 9.30 malam di kawasan Taman Samudera, Batu Caves hari yang sama,” kata Zainal Mohamed. – MalaysiaGazette